100 orang banduan larikan diri ketika taufan Irma membadai


Royal Marines yang dikerahkan untuk mengesan banduan terlepas semasa taufa Irma membadai British Virgin Islands enggan mendedahkan berapa ramai banduan yang ditemui atau yang masih bebas. – Gambar EPA, 12 September, 2017.

LEBIH 100 banduan berisiko tinggi melarikan diri di British Virgin Islands semasa dibadai taufan Irma, kata seorang menteri Britain pada Selasa semasa memaklumkan jumlah kematian di wilayah British kepada sembilan orang.

“Kami berhadapan ancaman serius terhadap undang-undang dan ketenteraman di British Virgin Islands,” kata menteri luar negara, Alan Duncan kepada Parlimen.

“Penjara itu dibolosi, lebih 100 tahanan melarikan diri,” katanya.

Duncan berkata Royal Marines dikerahkan untuk mengatasi perkara itu tetapi tidak mendedahkan berapa ramai banduan yang ditemui atau yang masih bebas.

“Kami berjaya mengekalkan dan memastikan undang-undang dan ketenteraman BVI, yang pada satu ketika, secara dramatik mendadak mengancam keadaan yang sudah sedia malang bagi mereka yang dilanda taufan,” katanya.

Dihubungi AFP, pihak Kementerian Luar Negara enggan mengulas.

The Daily Telegraph berkata nota daripada mesyuarat Kabinet yang dibocorkan kepada media pada Selasa mengatakan seramai 60 orang masih belum ditangkap semula.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa St Lucia dan British Virginia Islands untuk memindahkan daripada 40 tahanan tahanan berisiko tinggi yang telah melarikan diri ke St Lucia,” kata nota taklimat tersebut.

Duncan berkata sembilan orang mati di wilayah British Caribbean - lima di British Virginia Islands dan empat di Anguilla. Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan seorang terbunuh di Anguilla.

Tindak balas Britain terhadap taufan Irma dikritik beberapa penduduk tempatan kerana terlalu lambat dengan ada yang mengadu mengenai pelanggaran undang-undang dan ketenteraman serta dibiarkan tanpa sebarang bantuan.

Briton Claudia Knight berkata pasangannya, Leo Whitting, 38, terkandas di pulau Tortola.

“Semua orang bertukar menjadi ganas dan tiada siapa yang keluar tanpa senjata ... Ia menjadi sangat jahat,” katanya kepada agensi berita Persatuan Akhbar.

“Leo membawa pisau bersamanya,” katanya.

Tetapi Duncan berkata beliau “dengan sepenuh hati dan komprehensif menolak kritikan”.

“Saya rasa mereka tidak mempunyai alasan yang kuat,” katanya. – AFP, 12 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen