Perak bangunkan Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara


Pusat inovasi akan dibangunkan di atas sebidang tanah perindustrian berkeluasan 30.9 hektar di Tanjung Batu di Manjung, Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak melalui anak syarikat milik penuhnya, Perak 4.0 Industry Sdn Bhd (Perak 4.0) akan bekerjasama dengan Lestari Advanced Technology Sdn Bhd (LATSB) untuk membangunkan Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara.

Ketua Eksekutif dan Pengarah Perak 4.0 Mohd Ariff Yeop Ishak berkata menerusi kerjasama itu, LATSB akan membangunkan pusat inovasi berkenaan di atas sebidang tanah perindustrian milik PKNP berkeluasan 30.9 hektar di Tanjung Batu di Manjung, Perak.

“Apabila siap nanti, projek ini akan menjadi pembangun kepada teknologi roket dan pendorongan tempatan pertama dalam industri pertahanan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menandatangi memorandum persefahaman (MoU) berkenaan sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 yang berlangsung sejak Selasa hingga esok.

Ariff menandatangani bagi pihak Perak 4.0 manakala LATSB diwakili Pengarah Urusannya Ahmad Joahari Abu Bakar.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Katanya kos pembangunan pusat inovasi itu dijangka berjumlah di antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi fasa pertama yang dijangka mengambil masa selama lima tahun sehingga tahun 2024.

“Pembangunan itu akan membabitkan pembinaan pejabat pentadbiran, bangunan kimia, bangunan reka bentuk, bangunan propelan, bangunan struktur dan pengeluaran serta bangunan avionik dan elektronik,” katanya.

Fasa kedua pusat inovasi itu dijangka akan bermula pada 2024 membabitkan pembinaan beberapa bangunan tambahan yang pada masa ini masih belum ditetapkan kos pembinaannya.

Selain pelaburan daripada LATSB, fasa pertama projek berkenaan dijangka menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik berjumlah RM200 juta.

Katanya, ia juga akan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2020 dan 8,000 pekerjaan pada 2040.

“Projek kerjasama ini juga bakal meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di wilayah Asean untuk menawarkan perkhidmatan pelancaran dan pengurusan perkiraan detik (countdown management) bagi satelit Nano dan Pico,” katanya. – Bernama, 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen