KEKEJAMAN Myanmar ke atas minoriti Rohingya beragama Islam merupakan “kematian Hadiah Nobel Keamanan”, kata pemimpin Iran hari ini dalam kenyataan yang mengecam sikap berdiam diri penerima Hadiah Nobel Keamanan dari Myanmar, Aung San Suu Kyi.
“Sebuah kerajaan yang kejam, di atasnya duduk seorang wanita kejam yang dianugerahkan Hadiah Nobel, membunuh orang tidak bersalah, membakar mereka, memusnahkan rumah mereka dan menyebabkan mereka jadi pelarian dan tiada tindakan dilakukan,” kata Ayatollah Ali Khamenei dalam satu ucapan di Tehran, Iran.
Pernah disanjung masyarakat antarabangsa kerana berjuang menentang junta tentera Myanmar, Suu Kyi kini dikecam hebat di seluruh dunia kerana kegagalannya mengecam kekejaman yang berlaku ke atas komuniti minoriti Islam di negaranya sendiri, ditambah lagi dia sekarang merupakan salah seorang pemimpin negara itu.
“Ya, mereka kecam, keluarkan kenyataan, tetapi apa gunanya? Mereka perlu bertindak. Ini petanda kematian Hadiah Noble Keamanan,” kata Khamenei.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan 370,000 orang Islam Rohingya melarikan diri daripada Myanmar sejak tentera melancarkan operasi besar-besaran berikutan serangan militan hujung bulan lepas.
Ketua Hak Asasi PBB Zeid Ra’ad Al Hussein menyifatkan operasi itu sebagai “contoh buku teks pembersihan etnik”.
Khamenei berkata masalah bukan antara penganut Buddha dan Islam.
“Mungkin ada beberapa orang pelampau agama memainkan peranan, tetapi kerajaan yang melakukan semua ini. Ini adalah isu politik,” katanya.
“Penyelesaiannya adalah untuk kerajaan Islam bertindak. Kami tak kata yang mereka patut hantar tentera ke sana, tetapi kenakan tekanan politik dan ekonomi,” kata Khamenei.
Beliau menggesa Organisasi Kerjasama Islam (OIC) untuk masuk campur “bagi matlamat khusus dan membincangkan tindakan yang boleh diambil kepada orang Islam ini.”
Persatuan Sabit Merah Iran sudah menyediakan bantuan kepada Rohingya tetapi menunggu persetujuan Mynamar untuk menghantarnya, lapor agensi berita Mizan Online. – AFP, 12 September, 2017.
Komen