Putrajaya pertimbang bantuan RM3 bilion kepada Felda


Putrajaya mempertimbangkan pakej RM3 bilion untuk membantu menyelamatkan Felda dan peneroka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan pakej RM3 bilion untuk melancarkan aliran tunai dalam Felda yang dilanda skandal dan membantu 112,635 keluarga Melayu yang hidup bergantung pada skim tanah rancangan itu, lapor The Straits Times.

Kertas putih Felda yang akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh dua minggu akan memperincikan beberapa isu yang dihadapi Felda dan usaha yang mahu diambil untuk menstabilkan agensi tersebut.

Daripada RM3 bilion, kira-kira RM1 bilion akan digunakan sebagai suntikan serta-merta ke dalam Felda, yang kekurangan RM2.8 bilion untuk memenuhi keperluan aliran tunai bagi tahun in dan tahun depan, menurut laporan itu.

Agensi itu juga akan cuba menstrukturkan semula pinjaman bernilai RM1.8 bilion tahun ini, dan RM10 bilion dari 2020 dan seterusnya, sementara kerajaan juga melanjutkan pinjaman dan jaminan kepada Felda.

“Kerajaan akan membayar RM2 bilion hutang peneroka kepada Felda dan memperuntukkan RM250 juta untuk menghidupkan semula perumahan yang terbengkalai untuk anak mereka. Ramai yang tidak dapat membayar walaupun kadar faedah,” kata sumber.

Kira-kira 2.6 juta Melayu pada hari ini berada dalam skim Felda, yang membentuk lebih 900,000 hektar tanah seluruh negara.

Mereka membentuk blok mengundi terbesar iaitu lebih 1.2 juta orang, atau kira-kira 8% daripada keseluruhan 15 juta pengundi berdaftar.

Pada PRU14, Barisan Nasional hilang sokongan 27 kawasan di ladang Felda, yang selama ini menjadi kubu kuat bekas pakatan pemerintah itu.

Bagaimanapun, sejak menang pilihan raya itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bergelut untuk mengekalkan sokongan Melayu, dan pelan bantuan untuk menyelamatkan Felda antara usaha kerajaan mendapatkan semula kepercayaan masyarakat itu. – 29 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen