KUMPULAN masyarakat sivil membidas kerajaan kerana meletakkan status laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sebagai rahsia, dan mengatakan langkah itu menunjukkan Putrajaya kurang telus dalam isu melibatkan kepentingan awam.
Daripada “sembunyi di sebalik” Akta Rahsia Rasmi (OSA), Putrajaya sepatutnya menjadikan ketelusan sebagai keutamaan dalam pentadbirannya, kata Cynthia Gabriel dari Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kronisme (C4).
Beliau berkata, walaupun beberapa bahagian laporan CEP mungkin mengandungi isu-isu sensitif mengenai kaum dan ekonomi, kerajaan sekurang-kurangnya patut mendedahkan cadangan-cadangan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang merupakan sebahagian daripada laporan itu.
“Memandangkan ia kepentingan awam…pengesyoran IRC perlu dikongsikan tanpa rasa takut, kerana ini adalah cadangan untuk pembaharuan negara dan langkah ke hadapan.
“Tiada yang sensitif dalam perkara ini. Hanya ini sahaja cara Malaysia baharu dapat dilahirkan,” kata Cynthia.
Beliau berkata, laporan CEP kemungkinan akan mengandungi tiga bahagian utama, antaranya cadangan IRC, saranan dan perincian utama majlis yang diumumkan oleh jawatankuasa penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin di Parlimen berkata, laporan CEP akan kekal di bawah OSA kerana ia mengandungi maklumat sulit.
Ahli CEP, yang ditubuhkan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum lalu, termasuk bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, pakar ekonomi K.S. Jomo, bekas gabenor Bank Negara Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas pengerusi Petronas Hassan Marican dan jutawan yang juga ahli perniagaan Robert Kuok.
CEP dibubarkan selepas 100 hari Pakatan Harapan mentadbir kerajaan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar berkata, masyarakat awam berhak untuk mengetahui kebenaran, dan OSA sepatutnya hanya digunakan untuk laporan yang berpotensi memberi ancaman kepada keselamatan negara.
Pusat Wartawan Bebas (CIJ) berkata, daripada kembali menggunakan OSA, Malaysia perlu mengkaji semula undang-undang kuno dan menguatkuasakan Akta Kebebasan Maklumat.
“Hanya dokumen melibatkan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa atau lain-lainn yang jelas mempunyai kriteria itu sepatutnya dimaktubkan di bawah kerahsiaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
“Buat masa ini, di bawah OSA, sebarang dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia apabila ia diluluskan oleh penjawat awam. Mahkamah tiada bidang kuasa untuk menyemak semula sama ada sesuatu dokumen itu perlu dianggap sebagai rahsia.”
Menurut kumpulan itu, sebelum ini dokumen seperti perjanjian konsesi lebuh raya, indeks pencemaran udara dan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kesemuanya diklasifikasikan sebagai rahsia.
“Ini jelas sekali tidak dapat diterima. Manifesto Pakatan Harapan di bawah 14 Janji, berjanji untuk menyemak semula Akta Rahsia Rasmi 1972 dan melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat, dengan peruntukan kewangan untuk melaksanakan akta baharu ini.”
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, walaupun kerajaan mempunyai hak untuk menentukan sama ada laporan CEP perlu ditetapkan sebagai rahsia kerana perkara sensitif, beliau menggesa kerajaan untuk mendedahkan laporan itu kemudian dan menjadikan ia sebagai umum.
“Adalah penting untuk laporan itu diletakkan di bawah OSA tetapi hanya untuk tempoh tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jika kita lihat negara asing sebagai contoh, walaupun dokumen seperti itu mungkin terikat dengan keselamatan negara, namun ia hanya untuk tempoh tertentu yang mana ia diletakkan sebagai rahsia tetapi kemudiannya ia didedahkan kepada umum.”
Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Wong juga berkata kandungan laporan itu boleh menjadi pengajaran dan contoh untuk tidak mengulangi salah laku atau kesilapan pentadbiran yang lalu.
Beliau berkata adalah bijak untuk kerajaan membuat laporan itu secara terbuka, sambil menambah bahawa unsur-unsur yang mensyaratkan kerahsiaan atau yang dianggap rahsia boleh diketepikan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata walaupun sentimen terhadap kerahsiaan laporan itu dapat difahami, ia juga perlu diambil kira bahawa kandungannya berpotensi mengganggu pentadbiran kerajaan.
“Walaupun kita berusaha sebaik mungkin untuk menjadi sebuah negara yang telus, ada perkara yang perlu disimpan sebagai rahsia,” katanya. – 29 Mac, 2019
Komen