TIADANYA rundingan dengan pemegang taruh dan penerangan jelas kerajaan tentang Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) punca utama sebahagian rakyat menolak langkah Putrajaya mengiktiraf perjanjian antarabangsa itu, kata ahli Parlimen dan penganalisis, sama seperti kontroversi ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Semasa cadangan meratifikasi ICERD berbangkit hujung tahun lalu, tiadanya rundingan dan penjelasan mengenai dokumen antarabangsa itu mencetuskan bantahan jalanan dan perhimpunan besar.
Perbincangan mengenai perjanjian antarabangsa Statut Rom sekarang perlu melibatkan semua peringkat pihak yang berkepentingan termasuk rakyat jelata, kata Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir.
“Pemegang taruh ini pelbagai, bukan setakat orang politik tapi pemimpin masyarakat supaya lebih menyeluruh.
“Perkara ini pemimpin kena betul-betul faham sebelum perkara ini diputuskan supaya orang tidak terkejut dan dipolitikkan,” kata ketua Pemuda PKR itu lagi.
Menurut Akmal, penjelasan ke akar umbi itu mustahak untuk Malaysia menghadapi cabaran baru dunia tanpa sempadan termasuk nilai sejagat, yang diterima di peringkat antarabangsa tetapi belum tentu difahami atau sesuai di peringkat setempat.
“Ada perkara yang asing dan agak berbeza dengan pandangan kita, ini kita buat penilaian secara rasional melalui diskusi,” katanya.
Beliau memberikan contoh cadangan ratifikasi ICERD yang mencetuskan kontroversi sehingga membawa kepada tunjuk perasaan akhir tahun lalu.
Katanya, walaupun sering dibincangkan di peringkat antarabangsa namun ICERD agak asing buat rakyat Malaysia, kerana tidak diperjelaskan dengan baik, dan begitu jugalah dengan soal Statut Rom dan ICC.

“Nasihat atau pandangan saya, sebelum apa-apa perkara dipersetujui adakan perbincangan dengan pemegang taruh yang berkenaan supaya ada perbincangan,” katanya.
Statut Rom ialah perjanjian antarabangsa mengenai penubuhan ICC, yang antara lain membicarakan empat jenayah antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai menghapuskan etnik, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
Ia bagaimanapun dibantah beberapa pihak termasuk Sultan Johor kerana dikatakan akan mencabar kedaulatan raja-raja Melayu.
Dalam titah ucapannya hujung minggu lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur tindakan Putrajaya meratifikasi Statut Rom yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, sama seperti ICERD.
Sebelum ini, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menjelaskan penyertaan Malaysia ke dalam Statut Rom sudahpun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Mac, seminggu selepas ia ditandatangani.
Menurut Akmal, orang menentang konvensyen antarabangsa yang diterima sejagat kerana isunya tidak dijelaskan dengan baik oleh pihak yang berkenaan.
“Pengajarannya ialah perlu ada penerangan dan juga diskusi supaya perkara ini boleh diperjelaskan dan menjawab kerunsingan,” kata Akmal lagi.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh bagaimanapun berkata, tidak seperti ICERD yang tiada penjelasan daripada kerajaan, isu pengiktirafan Statut Rom dijelaskan kepada ahli parlimen edaran soalan-soalan lazim.
“Kalau ICERD saya akui tidak ada (penerangan) secara jelas. Saya buat bacaan sendiri dan jelas… janganlah kita jadi seperti katak di bawah tempurung, tapi dari segi Statut Rom ada penjelasan, sudah pun dikongsi dengan ahli Parlimen.
“Ada penjelasan, soalan lazim ada. Mungkin tidak meluas, saya tak tahu, tapi perkara itu telah diedarkan,” katanya.

Syed Ibrahim bagaimanapun melihat penjelasan itu lebih perlu diberikan kepada Raja-Raja Melayu yang mempersoalkan langkah kerajaan bersetuju dengan mahkamah jenayah antarabangsa.
Pandangan sama disuarakan penganalisis politik Mohammad Tawfik Yaakub yang berkata isu sekarang timbul kerana kerajaan dilihat membelakangkan institusi raja, sehingga ditegur oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran Dan Politik Fakulti Ekonomi Universiti Malaya itu berkata, teguran olehada relevannya.
“Persoalannya adakah Majlis Raja-Raja dirujuk oleh kerajaan Persekutuan sebelum ratifikasi Statut Rom?” tanya pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya itu.
“Ya, benar kerajaan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong. Namun Malaysia dibina atas sistem Raja Berperlembagaan, mempunyai tradisi Melayu yang hormat kepada institusi beraja.
“Maka lebih baik Majlis Raja-raja dirujuk terlebih dahulu sebagai menghormati institusi berkenaan,” katanya.
Jelas beliau, isunya bukan tentang ratifikasi perjanjian antarabangsa yang tidak mengikat tetapi rasa hormat kepada institusi beraja yang nampak seakan pudar.
“Sudah hilang hormatkah kita kepada institusi berkenaan, inilah isu utamanya,” kata Tawfiq.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan berkata, isu Statut Rom sepatutnya bukan sahaja dibincangkan dengan Majlis Raja-Raja tetapi juga kerajaan negeri.
Kerajaan sepatutnya mengambil kira untuk mendapatkan persetujuan setiap Raja-Raja Melayu serta kerajaan negeri terlebih dahulu, katanya.
“Memang (kerajaan kata) sudah disembah kepada Yang di-Pertuan Agong, tapi bila sebut Majlis Raja-raja kita kena lihat kepada kerajaan negeri, sultan itu secara individu.
“Bagi PAS, Statut Rom kena dikaji balik walau Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) kata bila tak setuju kita boleh keluar, bukan semudah itu bila kita dah ikat diri kita.
“Bila sudah ratifikasi, tidak banyak kita boleh buat, sekarang kita kena cari mekanisme untuk kawal supaya apa yang diratifikasi tidak disalah guna oleh pihak luar sebab kita mengikat diri kita,” katanya.– 29 Mac, 2019
Komen