SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur semalam dalam siri serbuannya menyiasat skandal projek Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dianggarkan bernilai RM500 juta.
Sumber juga memberitahu, selain LHDN, agensi anti rasuah itu turut menyerbu sebuah lagi syarikat teknologi maklumat yang ada kaitan dan dipercayai terlibat dalam penyelewengan projek perkhidmatan perisian teknologi maklumat SSM bernilai lebih RM33 juta.
“Kedua-dua kes yang disiasat adalah kes yang berasingan namun mempunyai kaitan satu sama lain.
“Berikutan itu, SPRM hadir ke dua-dua pejabat berkenaan bagi mendapatkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Dalam serbuan semalam, SPRM merampas masing-masing sekotak dokumen di kedua-dua lokasi.
The Malaysian Insight difahamkan, sebuah lagi lokasi di Subang Jaya akan diserbut SPRM pagi ini berhubung kes yang sama.
Setakat ini, lima ditahan reman untuk membantu siasatan termasuk dua pegawai kanan SSM, seorang daripadanya pimpinan tinggi agensi itu.
Siasatan ke atas SSM yang bermula awal Januari lalu digerakkan susulan gesaan satu NGO yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam agensi itu.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM pada November tahun lalu. – 29 Mac, 2019
Komen