Polis Turki tahan 22 warga asing suspek militan IS


Polis Turki setakat ini sudah menahan lebih 5,000 suspek militan IS dan mengusir lebih kurang 3,290 warga asing dari 95 buah negara. – Gambar EPA, 12 September, 2017.

POLIS Turki hari ini menahan 25 suspek militan Islamic State (IS), 22 daripadanya terdiri daripada warga asing, dalam satu operasi serentak di beberapa lokasi di serata Istanbul, lapor agensi berita Reuters.

Laporan yang memetik agensi berita kerajaan, Anadolu itu menyebut tiga daripada suspek yang ditahan merupakan “pimpinan tertinggi” kumpulan militan berkenaan.

Ankara setakat ini sudah menahan lebih 5,000 suspek militan IS dan mengusir lebih kurang 3,290 warga asing dari 95 buah negara.

Pada masa sama, ia juga menyekat sekurang-kurangnya 38,269 warga asing daripada masuk ke negara itu kerana disyaki terlibat dalam gerakan militan.

Polis Turki minggu lalu menembak mati seorang militan IS yang merancang melakukan serangan bom bunuh diri ke atas sebuah balai polis di Mersin, lebih kurang 700 kilometer ke selatan Istanbul. – 12 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen