Konglomerat Australia dekati Putrajaya cuba ambil alih Lynas, menurut laporan


Ketua pegawai eksekutif Lynas, Amanda Lacaze membidas langkah Wesfarmers yang cuba menawarkan pengambilalihan kilang daripada Lynas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019

KONGLOMERAT perlombongan Australia, Wesfarmers, yang membuat tawaran pengambilalihan AUS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) untuk Lynas Corp, telah mengadakan perbincangan langsung dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai masa depan kilang pengeluar nadir bumi di Kuantan, lapor akhbar The Australian.

Dalam satu langkah yang boleh merumitkan rundingan Lynas dengan Malaysia, Wesfarmers mula mendekati Putrajaya dengan penyelesaian yang boleh dibawa ke meja rundingan jika ia menguasai kumpulan itu.

Kilang Kuantan, yang memproses nadir bumi dari lombong Lynas ‘Mt Weld berhampiran Leonora di tengah Australia Barat, telah lama mendapat tentangan daripada kumpulan aktivis alam sekitar berikutan kebimbangan pencemaran daripada sisa buangannya.

Pada Disember, Putrajaya meletakkan syarat pembaharuan lesen yang memerlukan Lynas mengeluarkan 450,000 metrik tan sisa radioaktif, atau sisa penulenan lumpur air, ke luar negara pada 2 September, iaitu ketika lesennya tamat.

Langkah Wesfarmers untuk membuat hubungan langsung dengan Putrajaya dalam tawaran pengambilalihannya telah dibantah oleh ketua pegawai eksekutif Lynas, Amanda Lacaze.

“Mereka tidak boleh bercakap bagi pihak Lynas, mereka tidak mempunyai maklumat yang diperlukan untuk membuat pertemuan itu bermakna, dan kami tidak bercadang untuk terlibat dengan mereka. Jadi saya tidak pasti tentang apa yang boleh mereka bawa ke rundingan,” kata Lacaze kepada The Australian.

Beliau berkata langkah syarikat itu untuk melibatkan pihak berkuasa Malaysia walaupun sedikit pengalaman menguruskan perniagaan di luar Australia “menunjukkan kurangnya pemahaman dan kepercayaan bahawa buku cek memecahkan segala-galanya”.

“Itu bukan kesnya,” kata Lacaze.

Akhbar itu melaporkan bahawa Wesfarmers mungkin dapat melihat semula untuk memindahkan kemudahan pemprosesannya kembali ke Australia, di mana ia dapat disepadukan ke dalam perniagaan kimianya yang sedia ada, dan berpotensi memindahkan bahan sisa di Kuantan ke Australia.

Semalam, Lynas secara rasmi menyatakan ia tidak terlibat dengan Wesfarmers, dengan pemegang saham terbesarnya, pengurus dana berpusat di Melbourne, Greencape Capital, menyifatkan tawaran pengambilalihan tu sebagai “mengambil kesempatan”, lapor The Australian.

Pasaran bagi nadir bumi, yang digunakan untuk peralatan berteknologi tinggi termasuk skrin LED, telefon, sistem tenaga diperbahaguri dan teknologi pertahanan, didominasi oleh China, yang menyebabkan Jepun dan AS cuba mencari sumber alternatif.

Japan merupakan pelanggan dan pembiaya terbesar kepada Lynas. – 28 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen