PENZINAAN dan seks gay di Brunei akan tertakluk kepada hukuman mati dengan direjam batu bermula minggu depan, kata pihak berkuasa, di bawah undang-undang syariah yang tertangguh empat tahun kerana dikritik keras.
Kumpulan hak asasi manusia terkejut dengan langkah terbaru negara yang kaya dengan minyak itu, yang mengamalkan Islam lebih ketat berbanding negara jirannya Malaysia dan Indonesia.
Negara kecil dengan sistem kesultanan itu akan melaksanakan kanun keseksaan baharu itu – yang termasuk memotong tangan dan kaki atas kesalahan mencuri – bermula Rabu depan.
Homoseksual diharamkan di Brunei dan kini ia menjadi kesalahan yang membawa hukuman mati. Undang-undang itu hanya terpakai kepada umat Islam.
Hukuman baharu bagi kesalahan mencuri ialah potong tangan kanan untuk kesalahan pertama dan kaki kiri bagi kesalahan kedua.
Amnesty International semalam menggesa Brunei “menangguhkan serta-merta” pelaksanaan hukuman baharu itu.
Notis dari Pejabat Peguam Negara Brunei bertarikh 29 Disember tahun lalu berkata peruntukan itu akan berkuat kuasa bermula 3 April.
Brunei kali pertama mengumumkan langkah itu pada 2013 tetapi tertangguh bagi membolehkan pegawai melakukan perincian, selain dibantah oleh kumpulan hak asasi manusia.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei berkata Sultan Hassanal Bolkiah dijangka membuat pengumuman pada 3 April berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah yang baharu itu. – AFP, 28 Mac, 2019.
Komen