BEBERAPA peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menghalang Parlimen menjadi semak dan imbang untuk lantikan jawatan utama, kata jawatankuasa Parlimen untuk pelantikan perkhidmatan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam William Leong berkata ia tidak dapat merangka manual operasi standard (SOP) kerana peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang menyelia beberapa suruhanjaya dan agensi.
Katanya kepada The Malaysian Insight, tanpa SOP tidak ada struktur kerja untuk jawatankuasa itu.
Sehubungan itu, sistem sedia ada akan kekal di mana perdana menteri akan terus menasihati Yang Di-Pertuan Agong berhubung pelantikan utama, tanpa perlu melalui proses semak dan imbang daripada jawatankuasa itu.
Jawatankuasa itu sedang mencari jalan penyelesaian bagi masalah itu dengan mengadakan mesyuarat bersama beberapa suruhanjaya, agensi dan pihak berkepentingan minggu depan.
Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam antara jawatankuasa yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada perubahan dalam parlimen kerajaan Pakatan Harapan.
Ia membolehkan rang undang-undang dikaji sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Jawatankuasa Leong bertindak sebagai badan pemantau untuk pelantikan utama dalam perkhidmatan awam.
Leong berkata pada masa ini jawatankuasa itu perlu terlebih dulu mengukuhkan SOP, di mana ia juga akan bergantung pada maklumat diberikan oleh suruhanjaya lain.
Suruhanjaya itu pula akan terpaksa menunggu lampu hijau daripada Kabinet sebelum berbuat demikian.
“Kami sedang menetapkan mesyuarat dengan beberapa suruhanjaya dan kami juga akan mengadakan pertemuan dengan Kabinet untuk menyelesaikan proses itu. Kami berharap ia dapat diselesaikan minggu depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata tanpa SOP, jawatankuasa itu tidak dapat akses kepada mana-mana maklumat daripada suruhanjaya dan agensi yang sedang membuat keputusan berhubung pelantikan.
Ahli Parlimen Selayang itu berkata beberapa suruhanjaya mempunyai akta mereka sendiri dalam mentadbir peranan dan pelantikan, yang menyebabkan penyelarasan SOP semakin sukar.
“Jadi sekarang kami berbincang dengan suruhanjaya berbeza seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pilihan Raya, peguam dan juga Kabinet untuk mengumpul maklumat bagi membina dan menyelaras SOP,” katanya.
Ditanya sama ada jawatankuasa itu mendapatkan nasihat peguam negara dalam merangka SOP, Leong berkata tidak ada keperluan berbuat demikian memandangkan jawatankuasa berkenaan di bawah bidang kuasa Parlimen. – 28 Mac, 2019.
Komen