2 eksekutif tipu pelabur dihukum penjara seumur hidup di China


Ezubou didakwa menipu maklumat projek syarikat dan menggunakan wang pelabur baru untuk membayar pelabur lama, dianggap skim Ponzi terbesar di China. – Gambar AFP, 12 September, 2017.

DUA eksekutif kanan sebuah skim pinjaman dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 yang lain juga dihukum dalam kes yang disifatkan sebagai skim Ponzi terbesar di China, lapor media negara itu hari ini.

Syarikat tersebut, Ezubao dilaporkan menipu lebih 900,000 pelabur dengan nilai pelaburan mencecah AS$7.6 bilion antara 2014 hingga 2015.

Gaya hidup mewah pengurusan tertinggi Ezubao menarik perhatian ramai dalam kes itu- salah satu kes berprofil tinggi yang memberi gambaran kepada amalan penipuan dan korup industri kewangan China.

Syarikat itu didakwa memberikan maklumat palsu projek mereka dan membayar pelabur lama dengan wang yang diterima daripada pelabur baru.

Ding Ning, ketua Ezubao yang dimiliki Kumpulan Yucheng Holdings dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Beijing atas dakwaan penipuan dana serta memiliki senjata api secara haram, lapor People’s Daily.

Seorang lagi pegawai tinggi syarikat, Ding Dian juga dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman kepada pesalah lain termasuk hukuman penjara tiga sehingga 15 tahun serta denda sebanyak 1.9 bilion yuan (AS$290 juta) kepada Yucheng Holdings.

Ding Ning dilaporkan menghadiahkan presiden syarikat itu sebuah cincin berlian merah jambu dan vila mewah di Singapura, serta memberikan pakaian mewah jenama Louis Vuitton dan Gucci kepada setiausahanya.

Ketika pihak berkuasa menyerbu syarikat itu, eksekutif syarikat dikatakan menanam dokumen kewangan di kawasan lapang berhampiran ibu pejabat syarikat di daerah Anhui. Polis mengambil masa 20 jam untuk mengorek tanah menggunakan dua mesin pengorek untuk mendapatkan dokumen itu. – AFP, 12 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen