DUA kajian lama era pentadbiran Barisan Nasional tentang orang Islam Malaysia mendedahkan hubungan antara kesusahan ekonomi dan perkembangan sokongan kepada pentadbiran “lebih Islamik”.
Kajian dijalankan badan pemikir Selangor, Kajidata Research, pada 2014 dan 2017, ingin mengukur sentimen orang Islam Malaysia kepada politik dan agama.
Data daripada dua kajian yang tidak pernah didedahkan sebelum ini dibangkitkan selepas keganasan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand oleh seorang pelampau kulit putih yang membunuh 50 jemaah.
Kajidata berkata selepas serangan Christchurch, mereka mahu menambah konteks ideologi pelampau di Malaysia menggunakan kajian mereka sebelum ini.
Sejumlah 5,900 responden Melayu Islam seluruh negara berumur atas 21 tahun terlibat dalam kedua-dua kajian itu pada 2014 dan 2017 itu.
Kajidata berkata data diperolehi mereka memberikan “gambaran sangat buruk tentang kekuatan ekonomi orang Islam Malaysia” yang mempunyai persamaan dengan Arab Spring, sebuah siri protes, kebangkitan dan pemberontakan bersenjata seluruh rantau Arab pada penghujung 2010 yang juga mencetuskan kebangkitan pengganas Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS).
Salah satu punca Arab Spring adalah kegagalan ekonomi dunia Arab.
Kajidata berkata kajian mereka mendapati 75% orang Islam Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM1,000 jika wujud kecemasan kerana mereka kurang simpanan dan hanya tiga juta daripada 14.5 juta pekerja mempunyai skim persaraan.
Kajian juga mendapati jurang pendapatan isi rumah antara Bumiputera dan bukan Bumiputera meningkat tiga kali ganda antara 1995 dan 2016.
Bagi soalan politik pula, 81% responden terlibat mahu dasar pentadbiran lebih pro Islam termasuk pelaksanaan hukuman Hudud.
“Boleh dihujahkan yang jika orang Islam Malaysia merasakan pembangunan negara dikongsi lebih saksama, idea Negara Islam (IS) yang menjanjikan pentadbiran baik dan kemakmuran sepenuhnya mungkin tidak akan menarik (perhatian mereka),” kata Kajidata.
Hasil kajian mereka yang bertajuk “Malaysian Muslims, Islam and the government of Malaysia”, kata Kajidata juga selaras dengan kajian dilakukan Pew Research Center pada 2015.
Kajian Pew mendapati 11% orang Islam Malaysia mempunyai pandangan positif tentang IS, dan 86% daripada mereka menyokong undang-undang Syariah berbanding undang-undang rasmi Malaysia. – 27 Mac, 2019.
Komen