Berlaku adil kepada saya dan kerajaan, kata Kiandee


Lee Chi Leong

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Ronald Kiandee berkata beliau akan berundur selepas penggantinya dikenalpasti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2019.

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Ronald Kiandee mempertahankan prosiding dilakukan jawatankuasa itu, berkata pendengaran yang dijalankan adalah adil dan tidak bias walaupun wakil pembangkang meletak jawatan.

“Mana soal tak adil? Basic mesyuarat cuma memerlukan satu tambah tiga korum, maknanya pengerusi tambah tiga ahli. Selalu pun mesyuarat PAC tak penuh korum, hari ini kita ada satu (pengerusi) tambah enam (ahli), tujuh orang (hadir),” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen selepas ditanya sama ada PAC mampu menjalankan mesyuarat dengan baik kerana tiga ahlinya -wakil pembangkang Barisan Nasional dan PAS- sudah berundur.

Kiandee kekal pengerusi jawatankuasa Parlimen itu walaupun sudah keluar Umno dan masuk Bersatu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Kiandee buat masa sekarang kekal pengerusi.

Tindakan mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi PAC mencetuskan kecaman pelbagai pihak, termasuk parti dalam Pakatan Harapan, menyebabkan Dr Mahathir mengumumkan penggantinya akan diumum tidak lama lagi.

Pakatan pemerintah dalam manifesto pilihan raya berjanji akan melantik wakil pembangkang sebagai pengerusi PAC. Kiandee dilantik ketika masih wakil Umno pada Ogos lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh daripada PKR, Nurul Izzah Anwar adalah wakil kerajaan pertama yang meletak jawatan dalam PAC pada Jumaat lepas.

Isnin lalu, tindakan beliau diikuti tiga wakil pembangkang dalam PAC, Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin Ahmad Hamzah daripada BN, dan wakil PAS Takiyuddin Hassan. Pembangkang menuntut Kiandee meletak jawatan sebagai pengerusi.

Seorang lagi wakil pembangkang, Ahli Parlimen Betong Robert Lawson daripada Gabungan Parti Sarawak masih kekal ahli PAC.

Susulan peletakan jawatan mereka, PAC kini mempunyai sembilan ahli.

Apabila ditanya media sama ada beliau perlu berundur, Kiandee berkata isu itu tidak timbul kerana Dr Mahathir sudah berjanji pengerusi baharu akan dilantik.

“Adil lah kepada kerajaan, keputusan telah dibuat oleh PM kan…bahawa saya akan diganti apabila ada pengganti yg dikenal pasti.

“Berlaku adil juga kepada saya, saya juga beberapa kali memaklumkan bahawa saya akur kepada keputusan dibuat PM berkenaan kedudukan saya.”

Sehingga penggantinya dikenal pasti, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata Kiandee akan terus mempengerusikan siasatan dibuat PAC sekarang.

Kiandee berkata, PAC sedang bersiap untuk menutup siasatan ke atas “kehilangan” dana untuk tuntutan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kontrak sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

Beliau turut menambah yang PAC masih belum menerima salinan surat peletakan jawatan Noraini, Ahmad dan Takiyuddin.

“Kalau dihantar pun kepada speaker Dewan Rakyat, patutnya kita diberi salinan, tapi setakat ini kita belum dapat. (Hanya surat) Nurul Izzah sudah dapat.” – 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen