KPKT rancang wujud peraturan jual rumah mampu milik


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk mewujudkan peraturan penjualan rumah mampu milik kepada kementerian itu sekiranya  pemilik rumah merancang untuk menjualnya.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata peraturan di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara itu sedang diperhalusi bagi membolehkan kumpulan sasar membeli rumah tersebut pada harga berpatutan.

“Pada masa depan melalui dasar perumahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kalau pemilik rumah ingin menjual, harus jual balik kepada KPKT,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu di lobi Parlimen, Zuraida berkata peraturan itu mampu mengawal ​​​​​​​harga rumah serta mengawal pemilikan rumah terutama bagi golongan yang tidak layak untuk membeli rumah mampu milik.

Beliau berkata peraturan itu akan terpakai bagi semua rumah mampu milik yang dibina bermula tahun ini.

“Kalau rumah yang dibina pada tahun 2019, ia akan siap tiga tahun setengah, jadi kita  akan sediakan peraturan ini,” katanya. – Bernama, 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen