.jpg)
IZINKAN saya mengulas sedikit tentang isu Statut Rom di sisi undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
Jemaah Menteri dan pihak yang diberi kuasa di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan hanya boleh melaksanakan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Itu adalah prinsip sumber kuasa Jemaah Menteri.
Prinsip yang sama mendasari agihan kuasa Eksekutif di bawah Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan tidaklah memperuntukkan kuasa mutlak kepada Kerajaan Yang di-Pertuan Agong, terdapat perkara-perkara yang disyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja dan bidang kuasa Negeri.
Statut Rom sekiranya diteliti adalah menyentuh isu Kedaulatan Negara. Hal ini kerana ratifikasi Statut Rom akan membenarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa melaksanakan bidang kuasanya di dalam Persekutuan.
Seperti dimaklumi, setiap kerajaan berdaulat mempunyai kuasa bebas dalam hal ehwal negaranya tanpa dikekang oleh kuasa asing. Sebarang perbuatan yang bersifat campur tangan dalam hal ehwal dalam negara perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Amalan sedemikian berlaku ketika British ingin terlibat dalam hal ehwal Kerajaan Melayu sebelum Hari Merdeka.
Soal sama ada baik atau buruknya peruntukan dalam Statut Rom adalah perkara yang terlebih dahulu perlu dipersembahkan, dan Majlis Raja-Raja akan memberi pertimbangan sewajarnya.
Kita mesti fahami bahawa Kedaulatan Negara kita terletak pada Raja-Raja Melayu, dan setakat diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan, kuasa itu diamanahkan pada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong merupakan wakil Raja-Raja Melayu untuk memerintah Persekutuan.
Oleh demikian, dalam hal ini Jumaah Menteri hendaklah merundingi Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(4) kerana punca kuasa berkaitan Kedaulatan terletak di situ, dan masih tertakluk pada perlembagaan negeri baginda masing-masing.
Sebagai sebuah Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja sebagai pemerintah tertinggi di negeri baginda masing-masing perlu dipelihara.
Satu lagi prinsip perlembagaan yang perlu difahami, nasihat di bawah Perkara 40(1A) adalah tertakluk pada pematuhan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana Negara kita menjunjung prinsip “Keluhuran Perlembagaan” atau dalam bahasa Inggerisnya, “the constitutional supremacy”.
Justeru, adalah tidak memadai Yang di-Pertuan Agong hanya dimaklumkan dalam perkara yang disyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja, atau pematuhan lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Perlu dinyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kewajipan tertentu di sisi undang-undang atas sifat baginda sebagai ketua negara, pemelihara prinsip Keluhuran Perlembagaan serta lain-lain kuasa dan bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan. – 27 Mac, 2019.
*Wan Ahmad Fauzi Wan Husain adalah pakar perlembagaan dan penasihat Majlis Rundingan Melayu Islam Beraja (Mi’raj).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen