.jpg)
ISU berkenaan Statut Rom ini bagaikan boleh dijangka.
Setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan yakin dan bertindak secara sendiri menandatangani statut tersebut, baru kelmarin Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menjelaskan tidak semua peruntukan di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan dilaksanakan di Malaysia.
Beliau berkata kerajaan akan melihat kandungan perjanjian itu, dan memilih perkara yang baik dan boleh diterima masyarakat umum di negara ini.
Walaupun contoh yang dberikan Dr Mahathir berkenaan perkara yang tidak boleh dilaksanakan pelik dan janggal dalam konteks Statut Rom, perkara ini sekali lagi mengundang pelbagai ketidaktentuan hasil daripada pendekatan gelojoh yang diambil kerajaan PH.
Mengikut laporan media, Dr Mahathir berkata kebebasan mutlak untuk melakukan sesuatu benda tidak akan dilaksanakan di Malaysia.
“Sebagai contoh Statut Rom memberi kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan semua benda. Kini ada lelaki berkahwin dengan lelaki, perempuan berkahwin dengan perempuan, dan saya sendiri tak tahu apa yang mereka lakukan selepas berkahwin. Mereka ini orang yang pelik dan kita tidak mahu jadi pelik seperti mereka. Itu kita tidak boleh terima. Kita hanya mahu lakukan perkara yang baik-baik sahaja,” katanya seperti dipetik media.
Ada beberapa perkara yang amat dibimbangkan daripada kenyataan perdana menteri ini.
Pertama, adakah beliau dan pihak kerajaan benar-benar faham akan kandungan Statut Rom sebelum mereka memilih untuk tandatangan?
Ini kerana berdasarkan penjelasan beliau dan bacaan berkenaan kandungan intipati Statut Rom, tiada peruntukan langsung disediakan berkenaan perkahwinan sejenis dan sebagainya.
Statut Rom sebenarnya memberi kuasa kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa individu yang terlibat dalam jenayah perang spesifik kepada peruntukan undang-undang yang dinyatakan dalam statut tersebut.
Kedua, Statut Rom tidak membenarkan mana-mana negara membuat sebarang apa-apa pengecualian berdasarkan Perkara 20.
Merujuk kepada teks asal “No reservations may be made to this Statute”, Malaysia memang tidak mempunyai hak untuk memilih klausa terpilih.
Malaysia kini sebaliknya berada sepenuhnya di bawah kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Perkara 27 turut menyatakan semua pihak tanpa mengira pangkat rasmi akan tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mana perkara ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan istimewa.
Ketiga, tahukah kita bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa kekal walaupun negara tersebut telah menarik diri daripada Statut Rom?
Perkara baru sahaja berlaku di negara jiran, Filipina yang mana mereka menarik diri daripada Statut Rom pada 18 Mac 2019.
Menurut pejabat pendakwa raya, Perkara 127.2 Statut Rom mengekalkan bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap jenayah-jenayah yang dilakukan semasa sesebuah negara masih menjadi ahli Statut Rom dan Mahkamah Jenayah boleh bertindak untuk mendakwa walaupun selepas sesebuah negara menarik diri.
Lebih menarik jika dibaca ruang komen di laman Facebook International Criminal Court, rata-rata rakyat Filipina mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk menarik diri.
Isu Statut Rom ini bagaikan pisang berbuah dua kali, sama seperti ICERD yang mana kerajaan bertindak dan mengumumkan niat untuk ratifikasi tanpa konsultasi dengan orang awam.
Sekali lagi pendekatan yang sama telah diambil. Kerajaan PH bertindak dengan gelojoh dan menandatangani Statut Rom tanpa konsultasi dengan pihak berkepentingan, yang mana dalam kes ini adalah Majlis Raja-Raja. – 27 Mac, 2019.
* Rahman Talib adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen