.jpg)
PEMUDA MCA menggesa penyokong-penyokong Pakatan Harapan supaya tidak memutar belit fakta untuk mengelirukan rakyat mengenai isu tugu askar Jepun yang sudah adanya sejak pentadbiran BN dahulu.
Menurut sejarah, semasa Perang Dunia Kedua, penjajah Jepun telah membina batu nisan di sepanjang Sungai Kedah untuk memperingati tiga askar Jepun yang telah mati. Akan tetapi, batu nisan tersebut telah dirosakkan pada tahun 2000.
Selepas penemuan batu-batu nisan tersebut oleh Persatuan Sejarah Malaysia Kedah, ia dicadangkan kepada kerajaan negeri BN pada masa itu untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat tarikan pelancong. Akan tetapi, cadangn tersebut ditolak. Oleh itu, ia hanya dikekalkan sebagai batu nisan sebagai peringatan Perang Dunia Kedua.
Apabila saya dilantik sebagai Pengarah Biro Belia Cina dalam kerajaan negeri Kedah, saya telah menjalankan projek transformasi komuniti di Chinatown yang berdekatan. Semasa tempoh ini, Persatuan Sejarah Malaysia Kedah sekali lagi mencadangkan pemulihan batu-batu nisan tersebut. Akan tetapi, kami sekali lagi menolak cadangan mereka. Kami mengambil pendirian bahawa batu nisan tersebut tidak akan dimusnahkan, tetapi ia juga tidak akan dipulihkan.
Oleh itu, ia memang mengejutkan apabila kerajaan negeri Pakatan Harapan bukan sahaja membenarkan Konsulat Jepun memulihkan batu-batu nisan tersebut, malah memperbesarkannya sehingga menjadi sebuah tugu!
Pegawai-pegawai kerajaan Jepun dan Pakatan Harapan Kedah bukan sahaja mengadakan majlis pembukaan tugu baharu, tetapi juga mendirikan papan maklumat dalam tiga bahasa yang menyanjung penjajah-penjajah Jepun sebagai “wira”. Penghinaan ini langsung tidak boleh diterima rakyat Malaysia dan keluarga-keluarga tentera pasukan Allied yang pernah berjuang di Malaya!
Dengan ini, Pemuda MCA menggesa kerajaan Kedah supaya merobohkan tugu tersebut, kerana ia sememangnya tidak patut dipulihkan atau dibina semula.
Kami berpendirian bahawa tindakan menurunkan papan maklumat tidak mencukupi, kerana Exco Pelancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar hanya memohon maaf atas kegunaan perkataan “wira” sahaja. Pemuda MCA membantah mana-mana usaha untuk menghormati dan menyambut penjajahan Jepun di Malaysia.
Pemulihan batu-batu nisan dan pembinaan tugu memberi gambaran bahawa kerajaan Pakatan Harapan setuju dengan kezaliman dan kekejaman askar-askar Jepun, dan penganiayaan yang dilakukan tehadap rakyat Malaya, askar-askar pasukan Allied dan ahli-ahli keluarga mereka selama 3 tahun dan 8 bulan dibawah pentadbiran Jepun. Pemuda MCA sekeras-kerasnya membantah keputusan Pakatan Harapan.
Pemuda MCA mengulangi pendirian bahawa tugu tersebut harus dirobohkan secepat mungkin, jika tidak kami akan menganjurkan sebuah protes untuk mendesak kerajaan berbuat demikian.” – 26 Mac, 2019.
* Tan Chee Hiong adalah Ketua Pemuda MCA
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen