BN yang jual bangunan Malaysia di Hong Kong, bukan PH, kata Guan Eng


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan menjual bangunan milik Malaysia di Hong Kong dibuat oleh pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan bukannya Pakatan Harapan (PH). – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

KEPUTUSAN menjual bangunan milik Malaysia di Hong Kong dibuat oleh pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan bukannya Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Lim berkata, kerajaan BN waktu itu ingin menjual bangunan di pejabat setinggi 28 tingkat di kawasan Wan Chai, Hong Kong melalui rundingan terus dengan nilai RM1.1 bilion. 

“Perkara ini dibangkitkan oleh (bekas perdana menteri), Najib (Razak), ini bukan kali pertama, beliau ulang-ulang bangkit perkara ini, tapi sama ada beliau lupa atau sengaja lupa, keputusan menjual bangunan ini dibuat oleh kerajaan BN kerana pada masa itu mereka tak dapat tanggung kos pembaikan sebanyak RM300 juta.

“Mereka buat keputusan untuk jual dan mereka buat secara rundingan terus dengan pihak sebuah syarikat Malaysia dengan harga RM1.1 bilion,” kata Lim yang juga ahli Parlimen Bagan kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, selepas mengambil alih kerajaan, Kabinet kemudiannya memutuskan untuk melakukan tender terbuka kerana kerajaan akan mendapat tambahan pendapatan.

“Bila kita ambil (alih) kerajaan kita rasa ya kontrak sudah ditandatangani, tapi ia tak patut dibuat dengan rundingan terus. Sebaliknya PH rasa harus dapat harga munasabah dengan tender terbuka. 

“Ini kerana kita terima tawaran daripada pelbagai pihak sehingga sekurang-kurangnya RM1.6 bilion iaitu RM500 juta lebih tinggi daripada harga runding terus. 

“Oleh itu Kabinet putuskan kita buat penjualan secara tender terbuka dan bukan runding terus. Kita yakin boleh dapat tambahan RM500 juta, itulah perbezaan PH dari BN,” katanya.

Najib semalam berkata, ketika di bawah pentadbirannya sebelum ini, kerajaan tidak pernah mahu menjual aset negara di Hong Kong, tidak seperti yang dilakukan kerajaan PH.

Najib berkata, pihaknya tidak menyokong penjualan aset berkenaan kerana perkara itu akan memberi kesan kepada kebolehan menjana nilai dan pendapatan.

“Pada prinsipnya, bila kita ada aset kita tak jual. Kita simpan sebab aset kita boleh meningkat dari segi nilai dan boleh menjana keuntungan jangka panjang. Jadi, dari segi dasar saya kurang setuju aset dijual,” katanya.

Februari lalu, akhbar The Star yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.

Kerajaan merancang untuk menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen