RIBUAN pelarian Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar mungkin dipaksa menghuni sebuah pulau terbiar di Bangladesh yang dilanda banjir setiap tahun.
Kerajaan Bangladesh merayu sokongan antarabangsa untuk memindahkan Rohingya ke pulau itu memandangkan negara miskin berkenaan berdepan krisis pertambahan di mana hendak menempatkan kebanjiran kemasukan pelarian susulan keganasan tentera di Rakhine, yang didominasi Buddha Myanmar.
Lebih 300,000 Rohingya memasuki Bangladesh selepas tercetus keganasan terbaru pada 25 Ogos, menjadikan kira-kira 300,000 pelarian sedia ada di kem PBB di daerah Cox’s Bazar, sempadan Myanmar melimpah ruah.
Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa Bangladesh, yang berusaha mencari tanah bagi membina lebih banyak kem, termasuk di pulau Thengar Char yang tidak berpenghuni – baru-baru ini dinamakan semula sebagai Bhasan Char – walaupun pemimpin Rohingya dan pegawai PBB tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Bhasan Char, terletak di muara sungai Meghna, sejam perjalanan menggunakan bot dari Sandwip, pulau berpenghuni terhampir, dan dua jam dari Hatiya, salah sebuah pulau terbesar di Bangladesh.
Pihak berkuasa pada mulanya bercadang menempatkan pelarian Rohingya di sana pada 2015, ketika kem di Cox’s Bazar terlalu sarat.
Tetapi rancangan itu terhalang tahun lalu selepas laporan mengatakan pulau lumpur itu yang mula timbul dari laut pada 2006, tidak boleh dihuni kerana sering dilanda banjir air pasang surut.
Kerajaan sedang cuba mencarikan ruang baharu untuk Rohingya, termasuk membuka kem seluas 800 hektar berhampiran Cox’s Bazar, dekat sempadan Myanmar, yang akan menempatkan kira-kira 250,000 pelarian.
Perdana Menteri Sheikh Hasina dijangka melawat tapak pembinaan hari ini.
Tetapi dengan kejadian keganasan terbaru, ramai yang takut pembinaan itu tidak dapat menampung semua pelarian yang memerlukan tempat perlindungan.
Akibatnya, kerajaan Bangladesh menggiatkan kerja di Bhasan Char dan mungkin membina kawasan kemudahan seluas 10,000 ekar yang dapat menampung ratusan ribu Rohingya.
Tetapi mereka berdepan cabaran besar.
Seorang pegawai polis berkata pulau itu yang sesekali digunakan oleh nelayan dan petani, terdedah kepada banjir sekali atau dua kali setahun.
“Saya rasa pulau itu perlu pembinaan infrastruktur besar-besaran sebelum ia boleh didiami,” katanya.
Kehadiran tentera laut Bangladesh di situ yang terbabit dalam membangunkan pulau berkenaan, berjaya menghalau lanun yang menggunakan pulau itu untuk beroperasi.
“Tentera laut membina dua pad helikopter dan kini sedang membina jalan dan tempat berteduh,” kata pentadbir kerajaan. – AFP, 12 September, 2017.
Komen