Pengajaran dari Morsi di Mesir untuk Pakatan Harapan


PADA sebuah konsert di Sydney, Australia bulan lalu, penyanyi legenda lagu berjudul Against All Odds, Phil Collins tampil serba santai dan bertongkat. Usia beliau kini mencecah 70 tahun.

Sebelum memulakan persembahan, beliau berkata kepada seluruh peminatnya: “Anda ada pilihan untuk ke konsert lebih moden tetapi masih memilih untuk hadir ke sini… terima kasih! Tetapi dimamah usia ini amat mengecewakan”.

Lalu beliau menyampaikan lagu-lagu popularnya sambil duduk di atas kerusi.

Masih berbisa, malangnya kurang menyengat.

Kehidupan memang dihambati masa dan masa kelihatan berlalu pantas.

Membicarakan peredaran masa berkaitan dengan politik, teringat saya akan tragedi yang menimpa bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi.

Beliau kini uzur dalam tahanan, setelah diringankan hukuman mati ke atasnya dengan hukuman penjara selama 25 tahun.

Setelah menang pilihan raya pada 29 Jun 2012, Morsi gagal memanfaatkan masa pemerintahan yang diberi apabila hanya kurang lebih setahun kemudian jutaan rakyat berhimpun tanda syukur menggulingkan beliau dari tampuk pemerintahan.

Pada 23 Julai 2013, rakyat yang hadir di Dataran Tahrir melebihi jumlah rakyat yang meraikan kemenangan beliau setahun sebelumnya.

Reaksi rakyat Mesir ini agak pelik kerana mereka pada ketika menjatuhkan Morsi, menyokong dan berterima kasih kepada seorang jeneral tentera yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan dan rogol beramai-ramai terhadap rakyat semasa revolusi menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak.

Ya, dalam masa setahun apa-apa pun boleh terjadi.

Sudah tentu pelbagai teori dan pandangan dibincangkan hasil peristiwa berdarah Morsi ini. Tetapi secara umum, semua teori ini berkisar sama ada memuja atau mengeji Morsi.

Membincangkan teori memuji Morsi tampak mudah. Beliau digulingkan kerana imejnya seorang Islamis dan ingin memaju dan merubah Mesir kepada sebuah negara yang membangun dengan acuan Islam.

Itulah perjuangan parti beliau Ikhwanul Muslimin yang sudah hampir 90 tahun di arena politik Mesir.

Semasa ucapan kemenangannya di Dataran Tahrir, Morsi membuka jaketnya dan turun dari pentas untuk bersama rakyat sebagai simbolik menunjukkan tanpa pakaian kalis peluru beliau kembali kepada rakyat marhaen tempat asal usulnya.

Selama hampir 90 tahun gerakan Ikhwanul Muslimin menanam ideologi Islam dan sudah tentu kemenangan Morsi sebagai ahli Ikhwanul Muslimin adalah satu harapan bagi mereka untuk membuktikan setelah Republik Islam Iran, Mesir akan menjadi sebuah lagi contoh negara Islam yang disegani.

Persoalannya, mengapa pemerintahan Ikhwanul Muslimin di Mesir hanya bertahan selama setahun?

Ini satu iktibar yang paling mirip dan dekat untuk diamati oleh para pemimpin Pakatan Harapan di Malaysia.

Teori kejian terhadap Morsi boleh disimpulkan kepada satu faktor utama iaitu gagal memahami realiti sebenar rakyat Mesir.

Beliau sangkakan kemenangan pilihan raya presiden Mesir yang diadakan setelah revolusi rakyat menentang 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak adalah organik sokongan terhadap perjuangan ideologi Ikhwanul Muslimin. Analisa politik mengatakan sebaliknya.

Mengikut kajian, Ikhwanul Muslimin menang hanya kerana gerakan itu satu-satunya organisasi pembangkang yang tersusun pasca revolusi menjatuhkan Hosni Mubarak.

Tersusun tetapi tidak mewakili segenap lapisan masyarakat Mesir yang rencam sosio budaya dan ekonominya. Lebih parah tidak mewakili majoriti rakyat miskin di Mesir.

Tidak kira sehebat mana pun atau seindah mana pun idealogi Islam ala Ikhwanul Muslimin yang diterapkan selama 90 tahun, akhirnya kos sara hidup adalah tiang sokongan yang terpenting.

Apa yang Morsi lakukan pada bulan-bulan awal pemerintahannya? Ironinya, persis apa yang Pakatan Harapan sedang hidangkan sekarang kepada rakyat Malaysia.

Harga barang makanan meningkat, struktur cukai baharu tidak memberi manfaat kepada rakyat bawahan malah turut sama dirasai oleh syarikat-syarikat korporat.

Tidak sampai enam bulan pemerintahan Morsi, gerakan mahasiswa dan rakyat bangkit mengumpul jutaan (dilaporkan 22 juta) petisyen untuk diadakan pilihan raya awal setelah kerajaan dikatakan gagal menangani masalah kos sara hidup.

Banyak kali Morsi mengubah keputusan politiknya yang secara terang menunjukkan beliau gagal membuat keputusan yang rasional.

Akhirnya akibat terasa tekanan rakyat, Morsi mengambil tindakan yang paling salah dalam karier politiknya apabila mengisytiharkan kuasa presiden adalah lebih tinggi daripada kuasa perlembagaan negara dan undang-undang.

Pada situasi ini Morsi dilihat semakin cemas dan rakyat mula memandang beliau mirip Hosni Mubarak.

Krisis perlembagaan ini lebih meruncing apabila sejak awal pemerintahan, Morsi menunjukkan kebencian beliau terhadap angkatan tentera Mesir .

Beliau telah memecat ramai anggota tertinggi dan kanan tentera Mesir demi mengukuh cengkaman politiknya.

Masuk bulan ke-9 pemerintahan Morsi, keadaan Mesir makin meruncing.

Gerakan Tamarod semakin popular. Entah mengapa, mungkin akibat ingin melepaskan geram, Morsi pada satu Persidangan Ketua-Ketua Negara Islam membincangkan krisis di Syria dengan tidak kena mengena mengkritik Republik Islam Iran (yang telah bertahan melawan Amerika dan Israel selama 35 tahun) atas dasar Iran membela Presiden Bashar Assad di Syria.

Syria adalah negara Arab yang paling banyak membantu rakyat Palestin sejak sekian lama.

Morsi selepas itu mengisytiharkan akan menghantar tentera Mesir untuk menjatuhkan Bashar Assad yang ketika itu berhadapan tekanan dan serangan proksi Amerika dan Israel.

Setelah persidangan itu juga, di Mesir telah dilancarkan penangkapan dan pembunuhan terhadap komuniti Muslim Syiah di Mesir.

Insiden pembantaian warga muslim Syiah ini dikecam hebat oleh Mufti dan Rektor Al-Azhar pada ketika itu, Sheikh Ahmed El Tayyeb.

Pada masa sama, kerajaan Ikhwanul Muslimin Morsi dikritik dan dibidas teruk akibat banyak laporan kes rogol dan serangan seksual terhadap para penunjuk perasaan wanita Tamarod yang sama terjadi ketika revolusi menjatuhkan Hosni Mubarak.

Kesemua insiden ini membuka peluang kepada legasi Hosni Mubarak yang buruk lagi ditakuti iaitu angkatan tentera Mesir. Jeneral Fatah El-Sisi melihat keadaan Mesir semakin memburuk serba serbi.

Si jeneral memberi amaran kepada Morsi agar tidak mencampuri urusan Syria dan memberi masa 48 jam untuk Morsi menurunkan harga bahan mentah makanan, masalah gas, masalah perkhidmatan air dan yang paling penting masalah gerakan Tamarod yang mula membiak dengan protes dan demonstrasi yang tidak henti-henti.

Kesudahan 48 jam itu telah kita semua lihat kini apabila Mesir kembali menjadi negara pemerintahan kuku besi askar.

Kuasa demokrasi telah lenyap; Mesir terus bergolak. Imej Ikhwanul Muslimin di Mesir tercalar dan yang paling menyedihkan, rakyat golongan tengah dan bawah terus menderita.

Laporan bahawa pelajar sekolah dan universiti di Malaysia tidak cukup wang untuk makan adalah amat memalukan.

Bantuan Bank Makanan juga adalah satu inisiatif yang hina untuk negara Malaysia yang kaya ini.

Tidak kita ketahui tahap kesabaran rakyat ini setebal mana, kerana semua mengakui tidak menyangka selautan manusia pada 1998 turun di jalanan demi keadilan Anwar Ibrahim dan pada 2019 kerajaan Umno-BN berusia 60 tahun kalah pilihan raya.

Meniti satu tahun pemerintahan Pakatan Harapan, para Reformis 98 atau lebih tepat dipanggil Anwariyun melihat keadaan Malaysia dengan penuh cemas dan kecewa.

Sesuatu yang drastik mesti dilakukan oleh Anwar Ibrahim kerana sebagai contoh membincangkan hal kereta terbang oleh Kerajaan Pakatan Harapan adalah satu penghinaan yang amat mengguris jiwa segenap rakyat yang menderita.  – 26 Mac, 2019.

* Luqman Hisyam, aktivis Reformasi sejak 1998

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen