KRITIKAN Nurul Izzah Anwar terhadap Dr Mahathir Mohamad hanya pandangan peribadi beliau, kata Anwar Ibrahim ketika mengulas kenyataan anak sulungnya itu dalam wawancara dengan akhbar Singapura The Straits Times baru-baru ini.
Dalam wawancara itu, Nurul yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh meluahkan perasaannya sukar bekerja dengan bekas diktator yang dakwanya menyebabkan banyak kerosakan, bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, malah pemerintahan negara.
Anwar berkata beliau dan keluarga sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada Dr Mahathir untuk terus jadi perdana menteri.
“
“Saya fikir tumpuan kita ekonomi, pertamanya. Keduanya, kita dalam Pakatan Harapan sudah jelaskan muafakat kita untuk beri ruang dan sokong usaha Dr Mahathir, tak bermakna kita tak boleh berbeza pendapat, dan teguran.
“Ada setengah orang fikir ini macam kerajaan Umno dulu, tidak… kita beri ruang, tapi pendirian kita termasuk saya dan keluarga beri ruang dan peluang kepada Dr Mahathir sebagai pemimpin dan perdana menteri,” kata Anwar, yang juga ahli Parlimen Port Dickson di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas luahan perasaan Nurul Izzah kepada The Straits Times bahawa beliau kecewa dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya.
“Pandangan (Nurul Izzah) itu sekali dia keluarkan, saya faham konteksnya. Itu dikeluarkan Straits Times Singapura, kita nak gaduh buat apa,” katanya, mengulas kritikan yang diterima Nurul Izzah daripada pemimpin Bersatu. – 26 Mac, 2019.
MENYUSUL
Komen