Wanita Aceh bersalah kerana berkhalwat, disebat 100 kali


Sebatan di khalayak adalah salah satu hukuman yang dilaksanakan di Aceh di bawah undang-undang syariah yang diperkenalkan pada 2001. – Gambar EPA, 12 September, 2017.

SEORANG wanita di Indonesia dimasukkan ke hospital selepas disebat 100 kali secara terbuka di Aceh, lapor ABC News.

Mazidah, 30, didapati bersalah kerana berkhalwat di bawah undang-undang syariah yang baru diwujudkan.

Dia didapati berada bersama seorang lelaki bukan mahram di tempat tertutup. Lelaki itu yang berusia 34 tahun juga disebat sebanyak 100 kali.

Sebatan di khalayak kedua-dua mereka dan seorang lagi pesalah dilakukan di bandar Lhokseumawe, di luar Banda Aceh, kata media Australia itu.

Aceh diberikan kuasa khas oleh kerajaan Indonesia untuk melaksanakan hukuman syariah pada 2001, sebahagian daripada usaha untuk mengekang gerakan pemisah di kawasan itu.

Ribuan penduduk termasuk kanak-kanak dilaporkan menyaksikan hukuman itu dilaksanakan, yang diadakan di atas pentas di luar sebuah masjid selepas solat Jumaat minggu lepas.

Beberapa jenayah diletakkan di bawah bidang kuasa undang-undang syariah termasuklah pengambilan arak, berjudi, berkhalwat, dan homoseksual. – 12 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen