Dr Mahathir bukan diktator, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis

Sebelum Pilihan Raya Kecil Semenyih, Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama pemimpin PAS bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, buat kali kedua di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

DR Mahathir Mohamad bukan seorang diktator, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang menepis kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dalam wawancaranya dengan akhbar Singapura, The Straits Times baru-baru ini.

Dalam wawancara itu, Nurul meluahkan perasaannya sukar bekerja dengan bekas diktator yang dakwanya telah menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja dalam kehidupan keluarganya, malah pemerintahan negara.

Hadi sebaliknya berkata Dr Mahathir hanya melaksanakan tugasnya dengan tegas terhadap anggota Kabinet yang lemah.

“Saya nak komen tentang kenyataan katakan Dr Mahathir diktator. Itu bukan diktator, itu tegas, kerana beliau dipilih secara demokratik dalam pilihan raya dan Pakatan Harapan (PH) yang pilih beliau (sebagai perdana menteri). Bukan beliau lantik diri sendiri.

“Apa yang penting ialah ketegasan… tegas menghadapi ahli Kabinet yang lemah bukan diktator,” kata Hadi kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata sebagai pemimpin, Dr Mahathir perlu bertindak sedemikian.

“Itu suatu yang perlu (dilakukan) bagi pemimpin perlu tegas menghadapi ahli Kabinet yang lemah,” katanya.

Nurul dalam wawancara tersebut meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya.

Beliau minggu lalu meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Pertengahan Disember lepas, beliau melepaskan semua jawatan dalam PKR termasuk naib presiden yang dimenanginya dalam pemilihan parti, serta jawatan lantikan kerajaan.

Semalam, ditanya mengenai kekecewaan Nurul terhadap kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau juga kecewa dengan mereka yang kecewa terhadap kerajaannya.

Sebelum Pilihan Raya Kecil Semenyih, Hadi bersama pemimpin PAS bertemu Dr Mahathir, buat kali kedua di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur.

Hadi selepas itu membayangkan akan ada gerakan mahu menolak Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen, dan PAS akan memberi sokongan kepada perdana menteri. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen