Putrajaya belum putuskan tamat model PDP Pan Borneo


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata pelaksanaan model projek lebuh raya itu sedang dinilai dan disemak semula dari pelbagai aspek terutamanya melibatkan soal komitmen beban kewangan sedia ada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

PUTRAJAYA belum ada keputusan muktamad berkenaan cadangan menamatkan model rakan pelaksana projek (PDP) bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Katanya, pelaksanaan model projek lebuh raya itu sedang dinilai dan disemak semula dari pelbagai aspek terutamanya melibatkan soal komitmen beban kewangan sedia ada kerajaan.

“Ini bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan dapat dioptimumkan sebaik mungkin dan dalam masa yang sama tidak mengganggu kelancaran projek pelaksanaan projek terlibat,” kata Baru ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta kementeriannya menyatakan status pelan kerajaan untuk menukar PDP kepada “turnkey contractor” bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo dan apakah kelebihan penukaran tersebut.

“Sehubungan itu, penentuan mengenai hala tuju pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo akan diumumkan sebaik sahaja kerajaan selesai meneliti dan menimbang mekanisme yang terbaik berhubung dari penjimatan yang bakal diperolehi daripada projek ini,” kata Baru lagi.

Bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak, perjanjian PDP ditandatangani bersama Syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd pada 30 Jun 2015 dengan kos pembinaan sebanyak RM16.48 bilion.

Manakala projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, perjanjian PDP ditandatangani bersama syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd pada 11 April 2016, dengan kos pembinaan sebanyak RM12.86 bilion.

Kedua-dua perjanjian itu menetapkan PDP berkenaan perlu menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo mengikut kos, spesifikasi, dan tempoh masa yang ditetapkan, iaitu 30 Jun 2021 bagi Sarawak dan 31 Disember 2021 bagi Sabah. – 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen