BEBERAPA minit selepas bekas speaker Halimah Yacob disahkan sebagai satu-satunya calon yang layak bagi Pilihan Raya Presiden, sejumlah warga Singapura mula menggunakan hashtag #notmypresident dalam post di media sosial.
Penggunaan hashtag itu berterusan dalam tempoh beberapa jam, dengan semakin ramai warga Singapura meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Halimah.
Hari penamaan bagi Pilihan Raya Presiden yang ditetapkan untuk calon Melayu, pada 23 September ini mungkin tidak akan berlaku, lapor Yahoo News Singapore.
Dalam kenyataan media dikeluarkan semalam, Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) menerima lima permohonan tetapi hanya satu Sijil Kelayakan dikeluarkan.
Dengan keputusan PEC untuk melayakkan Halimah dan Jawatankuasa Kecil Masyarakat Melayu juga mengeluarkan sijil pengesahan, bekas ahli Parlimen Marsiling-Yew Tee itu akan menunggu pengesahan sebagai presiden pada hari penamaan, esok.
Pengguna Facebook Jericho Augustus Tan berkata, “Rakyat Singapura perlu diberi hak mengundi presiden yang mereka mahu #Notmypresident #democracyfails”.
Pengguna Twitter Edward C Yong berkata, “Hanya Halimah terima sijil kelayakan. Perlukah anda buat ia terlalu ketara? #NOTMYPRESIDENT”.
Bercakap kepada wartawan di luar ELD selepas disahkan sebagai calon tunggal presiden, Halimah ditanya sama ada beliau bimbang dengan tanggapan umum memandangkan beliau tidak perlu bersaing dalam pilihan raya.
“Saya berjanji akan melakukan terbaik untuk berkhidmat pada rakyat Singapura, dan ia tidak akan berubah sama ada berlaku pilihan raya atau tidak. Komitmen saya terhadap rakyat kekal sama,” katanya.
Ketua Eksekutif Second Chance Properties Salleh Marican dan Pengerusi Bourbon Offshore Asia Pacific Farid Khan yang turut menghantar permohonan pencalonan, kecewa apabila PEC menolak mereka.
Rakyat Amerika Syarikat sebelum ini menggunakan hashtag yang sama sebelum ini ketika Presiden Donald Trump memenangi pilihan raya. – 12 September, 2017.
Komen