MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan bermesyuarat pada Rabu untuk membincangkan keganasan di Myanmar yang menyebabkan lebih 300,000 Muslim Rohingya melarikan diri Ke Bangladesh, kata presiden majlis itu.
Britain dan Sweden memohon mesyuarat tergempar itu diadakan susulan masyarakat dunia semakin bimbang dengan perkembangan keganasan di Rakhine.
Semalam, Ketua Hak Asasi Manusia PBB Zeid Ra’ad Al Hussein menuduh Myanmar melancarkan “serangan sistematik” terhadap Rohingya dan memberi amaran kemungkinan akan berlakunya “pembersihan etnik”.
Pemimpin de facto Myanmar yang juga pemenang anugerah keamanan Nobel Aung San Suu Kyi berdepan kritikan dunia susulan keganasan pasukan tentera terhadap masyarakat minoriti Muslim itu, yang tercetus apabila militan Rohingya menyerang pasukan keselamatan di Rakhine pada 25 Ogos.
Majlis itu mengadakan mesyuarat tertutup pada penghujung Ogos untuk membincangkan mengenai keganasan itu, tetapi tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan.
Duta Britain Matthew Rycroft berkata beliau berharap akan ada perjanjian dibuat hasil daripada mesyuarat itu.
Penerima anugerah Nobel lain Dalai Lama, Malala Yousafzai dan Desmond Tutu mendesak Suu Kyi menjauhkan diri daripada tentera dan menyuarakan mengenai isu keganasan itu.
Agensi pelarian PBB berkata sekurang-kurangnya 313,000 Rohingya kini tiba di Bangladesh dari Rakhine sejak 25 Ogos, kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan populasi 1.1 juta. – AFP, 12 September, 2017.
Komen