.jpg)
DALAM satu wawancara, Khairy Jamaluddin memberi markah ‘D’ kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH). Semestinya, sebagai pembangkang buat pertama kali dan bekas menteri kabinet, maka dia mempunyai kemampuan untuk membuat penilaian tersebut.
Tetapi bagaimana pula prestasi pembangkang Umno mahupun PAS dalam era Malaysia Baharu? Adakah mereka lebih baik berbanding PH atau tidak berubah?
Ada beberapa pendekatan untuk menilai prestasi mereka, antaranya kualiti perbahasan pembangkang Umno-PAS di Parlimen dan kesediaan mereka menjadi kerajaan alternatif.
Saya mengikuti perbahasan titah diraja yang memasuki minggu ketiga. Tentunya, saya menjangkakan perbahasan ahli Parlimen pembangkang Umno-PAS kali ini lebih berkualiti selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland dan Semenyih.
Tetapi, jangkaan saya tidak tepat. Kandungan perbahasan mereka masih sama. Hanya isu perkauman dan agama dibangkitkan. Perkara ini membawa kepincangan pada institusi Parlimen, yang diharapkan lebih matang selepas pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018.
Pertama, perbahasan Parlimen tidak fokus kepada dasar kerajaan dan isu rakyat. Kedua, membazir masa perbahasan kerana begitu banyak celahan dan pertelingkahan antara ahli Parlimen. Ketiga, kredibiliti ahli Parlimen pembangkang, khususnya Umno yang pernah menjadi kerajaan dahulu kain merosot.
Sikap mereka ini seolah-olah membelakangi peranan institusi Dewan Rakyat, sebagai badan tertinggi membuat keputusan untuk rakyat dan negara. Mereka seharusnya harus menjaga keistimewaan Parlimen di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan. Bukan mengambil kesempatan menimbulkan perasaan marah dan dukacita sesama kaum dan agama.
Insaflah ahli Parlimen pembangkang Umno-PAS. Hentikanlah retorik politik kaum dan agama.
Pembangkang perlu menonjolkan imej mereka sebagai ‘government in waiting’ atau kerajaan alternatif berdasarkan ‘theory of resistance’ iaitu: kewujudan sebuah kumpulan yang mengkritik dan mempunyai cadangan berbeza dengan pihak pemerintah.
Peranan ini memerlukan lebih banyak cadangan dan dasar alternatif, bukan retorik perkauman dan agama sahaja. Kerajaan alternatif mempunyai tiga aspek penting:
Pertama, perlu bekerjasama dengan parti majoriti. Pembangkang harus menarik perhatian kerajaan dan rakyat tentang idea alternatif mereka. Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat amat berpatutan dalam melihat kerjasama pembangkang dan kerajaan dalam menyemak dan mengkaji dasar kerajaan.
Kedua, strategi dan organisasi perlu diperkukuhkan. Setakat ini, tiada kata sepakat BN dan PAS mahu duduk bersama membentuk kerajaan alternatif.
Walaupun BN berjaya mewujudkan kabinet bayangan atau jawatankuasa portfolio (JKP), tetapi mereka masih gagal untuk mewujudkan kabinet bayangan bersama PAS.
Malah, Umno-PAS gagal mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan campuran di empat buah negeri mereka iaitu Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Justeru ia memperlihatkan blok pembangkang Umno-PAS hanyalah satu percaturan untuk menang pilihan raya kecil dan belum bersedia mentadbir negara.
Perkara ini mustahak bagi melihat sejauh mana kedua-dua pihak ini mampu memerintah, lebih-lebih lagi apabila BN telah kehilangan rakan kongsi daripada Sarawak dan Sabah.
Ketiga, mereka perlu berdaya saing dengan parti pemerintah. Tidak dinafikan, Umno-PAS berjaya memenangi undi di kedua-dua PRK Semenyih dan Cameron Highland.
Tetapi, mereka kekurangan persaingan dasar alternatif untuk ditawarkan kepada rakyat. Tiada sebarang idea daripada Inisiatif Ekonomi Rakyat, belanjawan alternatif BN 2019 ketika di kedua-dua PRK.
Kemenangan emosi sahaja tidak memberi jaminan kukuh blok pembangkang akan berjaya menyakinkan rakyat untuk memilih mereka semula menjadi kerajaan.
Walaupun pembangkang berjaya dalam dua ujian percubaan (baca PRK Semenyih dan Cameron Highlands), tetapi markah prestasi pembangkang Umno-PAS ialah TH (Tak Hadir).
Ini kerana mereka masih takut menghadapi ujian besar iaitu keluar daripada zon selesa, menolak politik perkauman yang sempit dan gagal mengatur blok pembangkang yang jelas dan mempunyai dasar alternatif untuk menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15. – 25 Mac, 2019.
* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen