POLIS DiRaja Malaysia (PDRM) memantau pergerakan kumpulan punk yang mempromosikan fahaman Nazi di negara ini, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Meskipun tiada sebarang laporan dibuat terhadap kumpulan neo-Nazi Melayu tersebut, Fuzi berkata polis tetap menjalankan pemantauan terutamanya di media sosial.
“Ada keluar di media sosial. Kita sedar tentang perkara itu tetapi tidak ada mana-mana pihak membuat laporan atau membangkitkan isu ini.
“Tetapi dalam pemantauan pihak PDRM,” katanya dalam sidang media selepas selesai Sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.
Kegiatan pergerakan itu menjadi perhatian susulan kemunculan poster mempromosi dua persembahan pada bulan depan masing-masing di Ipoh dan di Kuala Lumpur.
Persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 13 April dibatalkan oleh penganjur susulan bantahan aktivis dan kumpulan antifasis.
Persembahan itu sepatutnya menampilkan kumpulan Black Fire, S.K.I.N.S, Purnamwulan, Xenophobia, Spider War, Total Distrust, Agasthor, Boot Axe, 13 Krieg dan S.T.F.O.
Persembahan yang didakwa akan diadakan di Black Box, Publika di Kuala Lumpur pada 6 April juga tidak akan berlaku selepas pemilik premis menafikan acara tersebut akan diadakan.
Salah seorang anggota kumpulan neo-Nazi Melayu terbabit memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan mereka tidak mempromosi perkauman.
Mereka juga mendakwa slogan “Malay Power” yang sering dilaungkan kumpulan berkenaan hanyalah untuk berseronok dan tidak bersifat rasis.
Menurutnya, golongan neo-Nazi ini lazimnya mempamerkan logo swastika yang popular sebagai lambang kumpulan berhaluan kanan dan pelampau kulit putih.
Lambang swastika itu digunakan oleh parti Nazi Jerman pimpinan Adolf Hitler yang kemudiannya menjadi pasukan tentera yang membunuh jutaan orang dalam Perang Dunia Pertama.
Walau pengaruhnya tidak besar, kemunculan kumpulan punk neo-Nazi ini dianggap memberi nama buruk kepada penggiat dan peminat muzik punk yang menolak fasisme dan perkauman. – 25 Mac, 2019.
Komen