Kiandee diganti lepas kes PAC selesai, kata timbalan speaker


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata, Pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen (PAC) hanya akan dilantik selepas kes yang sedang dijalankan oleh penyandangnya selesai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2019.

PENGERUSI baharu Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen (PAC) hanya akan dilantik selepas kes yang sedang dijalankan oleh penyandangnya selesai, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Nga berkata, pejabat speaker Dewan Rakyat akan mencari masa sesuai untuk mencari pengganti penyandang jawatan itu, Ronald Kiandee selepas kes berkenaan dapat diselesaikan PAC.

“Memandangkan ketika ini banyak kes sedang didengar PAC, saya rasa pihak pejabat speaker dan juga kerajaan, kita akan cari masa sesuai untuk pilih seorang pengerusi baru ikut apa yang dikata perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad).

“Tempoh berapa lama kita akan cari masa yang sesuai, kerana kes sedang didengar, saya rasa ia perlu ada kesimpulan, bila kes yang didengar itu akan selesai,” katanya.

Nga bagaimanapun tidak memberi jangka masa khusus yang akan ditetapkan untuk pelantikan pengerusi baharu bagi menggantikan ahli Parlimen Beluran itu

“Perdana menteri dah menjawab dalam masa paling singkat, saya yakin Pakatan Harapan akan tepati janji dalam manifesto. 

“Perlu diberitahu, semasa Ronald Kiandee dilantik, adalah atas dasar pembangkang, cuma sekarang beliau masuk menyertai parti dalam kerajaan, itu isu ini timbul.

“(Tetapi pelantikan baharu) bukan hari ini, tunggu pada masa yang sesuai,” kata ahli Parlimen Taiping itu lagi.

Sewaktu persidangan pagi ini, isu berkenaan turut dibangkitkan ahli Dewan yang menuntut agar usul untuk mebincangkan pelantikan pengerusi PAC baharu dibuat.

Usul berkenaan dicadangkan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) dan disokong Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian

“Kita akan ambil maklum dan bawa dalam perbincangan,” kata Mohamad Ariff. – 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen