PERKAHWINAN yang tidak didaftarkan menjadi punca utama kepada isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya merekodkan status seseorang individu sebagai warganegara atau bukan warganegara berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa sewaktu kelahiran berlaku.
“Saya seru rakyat Malaysia (yang) berani kahwin (agar) berani daftar (dan) berani tanggung sebab implikasi akan berlaku kepada anak-anak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai inisiatif kerajaan berhubung kanak-kanak tanpa kewarganegaraan selepas ibu warga asing kanak-kanak tersebut tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dengan bapa yang merupakan warganegara Malaysia.
Mohd Azis berkata bagi kes ibu bukan warganegara dan lewat mendaftar perkahwinan, pasangan berkenaan boleh membuat permohonan kewarganegaraan anak mereka kepada JPN di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 15A memperuntukkan kuasa khas kepada pentadbir persekutuan untuk mendaftarkan seseorang yang berusia bawah 21 tahun sebagai seorang warganegara.
“Permohonan di JPN akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkaitan,” katanya.
Tambahnya, pelbagai usaha sedang dilakukan kerajaan untuk membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – Bernama, 25 Mac, 2019.
Komen