Menteri elak dipersalah isu rasmi tugu 'wira Jepun'


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata struktur tugu tentera Jepun yang menjadi kontroversi bukan dalam kawasan tanah kementeriannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2019.

MENTERI Pelancongan, Seni, dan Budaya Mohamaddin Ketapi mengelak dari dipersalahkan dalam isu pengiktirafan satu tugu memperingati tentera Jepun di Kedah

Menurutnya, struktur yang dirasmikan oleh exco Kedah sebagai tugu wira Jepun itu tidak dibina di kawasan tanah milik kementeriannya, sebaliknya bawah kuasa kerajaan negeri Kedah.

“Tempat berlaku itu kawasan lain, bersebelahan, bukan di sebelah kawasan kita, itu hal negeri, jadi kerajaan Persekutuan tidak boleh komen urusan negeri.

“Bukan, bukan, (di bawah Jabatan Warisan Kedah), bukan di kawasan kita, kita sudah kenal pasti,” kata Mohamaddin.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengenai struktur yang terletak di Perkarangan Pejabat Kementerian Pelancongan Kedah.

Perasmian struktur tersebut oleh seorang exco Kedah pada Khamis lalu menimbulkan kritikan meluas kerana dilihat mengagung-agungkan tentera Jepun.

Ini memandangkan, pasukan tentera itu banyak menyeksa rakyat Malaya semasa menduduki negara ini sewaktu Perang Dunia Kedua.

Upacara perasmian tugu “wira” tersebut dianjurkan Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Exco bertanggungjawab, Asmirul Anuar Aris semalam menurunkan papan maklumat tugu wira Jepun itu petang semalam selepas dirundung kontroversi.

Asmirul pada hari ini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri dan beliau sendiri tidak pernah mengiktiraf askar Jepun sebagai wira.

Menurutnya papan tanda maklumat di tugu berkenaan mengandungi kesalahan kerana menyebut tentera Jepun sebagai wira.

“Perkataan wira Jepun hanya kesilapan teknikal oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dalam bahan promosi tugu itu kerana kita tidak akan sama sekali menyatakan askar Jepun sebagai wira,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Menurutnya, beliau juga terdahulu sudahpun meminta supaya mesej antiperang diletakkan di tugu tersebut.

Tambahnya, papan maklumat di tugu tersebut akan dibina semula oleh pihak terbabit dengan maklumat lebih tepat.

Menurutnya, tugu tersebut sudah lama terbina di situ dan hanya dicantikkan semula menerusi pembiayaan pihak konsulat negara Jepun. – 25 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen