10 kematian akibat Taufan Irma di Cuba


Taufan Irma yang membawa kelajuan angin sehingga 256 kilometer sejam menyebabkan pelbagai kemusnahan di Havana, Cuba. – Gambar EPA, 11 September, 2017.

SEKURANG-kurangnya 10 orang terbunuh selepas Taufan Irma landa Cuba sepanjang hujung minggu lalu, kata organisasi pertahanan awam negara itu pada Isnin.

“Setakat ini 10 kematian dilaporkan dalam bencana itu d beberapa kawasan di pulau ini termasuk Havana,” kata agensi dalam satu kenyataan.

Pertahanan awam berkata antara punca kematian adalah daripada renjatan elektrik kepada lemas, bangunan runtuh dan balkoni yang roboh di atas bas.

Terdapat mangsa yang tidak mempedulikan arahan untuk berpindah, katanya.

Irma melanda Cuba dengan angin berkelajuan 150 kilometer sejam di Havana, dengan kejadian ribut yang belum pernah berlaku sebelum ini di kawasan ibu negara yang turut menyebabkan mereka terkandas dalam banjir.

Ribut terbabit menyebabkan kemusnahan serius di kawasan tengah pulau berkenaan dengan angin berkelajuan 256 kilometer sejam, menurut media Cuba.

Pihak berkuasa berkata lebih sejuta orang dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Taufan berkenaan membunuh sekurang-kurangnya 25 orang pada laluannya merentasi Carribean.

Irma kini dilaporkan bertukar kepada ribut tropika selepas ia direkodkan semakin lemah dan menuju ke Florida. – AFP, 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen