KERAJAAN mungkin bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barangan tertentu dari negara Eropah jika mereka masih meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit negara, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata langkah tindak balas itu termasuk mengkaji kemungkinan membeli pesawat pejuang dari China sekiranya negara Eropah masih meneruskan rancangan untuk menyekat kemasukan komoditi itu ke negara mereka dari Malaysia.
“Jika mereka terus mengambil tindakan ke atas kita, (sekat kelapa sawit), kami akan mengkaji untuk membeli pesawat dari China atau mana-mana negara lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey di Banting hari ini.
Turut hadir Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.
Dr Mahathir bagaimanapun menjelaskan tindakan membeli barangan dari negara lain sebagai langkah tindak balas bukan bertujuan melancarkan perang terhadap negara Eropah sebab Malaysia masih perlu membeli barangan mereka.
Justeru, katanya tindakan untuk mengurangkan ataupun menghentikan pengimportan barangan tertentu dari negara Eropah tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dan kerajaan akan mengkaji impaknya terhadap negara sebelum mengambil sebarang tindakan.
Parlimen Eropah dilaporkan sedang mengharamkan penggunaan minyak sawit untuk minyak bio atau ‘biofuel’, sementara rangkaian runcit British, Iceland, dilaporkan sudah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penggunaan komoditi itu.
Malaysia adalah pengeluar utama minyak sawit dunia. Malaysia dan Indonesia menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia.
Industri minyak sawit negara berhadapan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan seringkali dituduh menjadi punca jerebu.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kempen anti minyak sawit oleh negara Eropah akan meninggalkan kesan terhadap pengeksportan minyak sawit Malaysia meskipun negara-negara terbabit bukan pengimport terbesar dari Malaysia.– Bernama, 24 Mac, 2019.
Komen