Masalah MAS perlu kajian terperinci, kata PM


Malaysian Airlines terus dihimpit pelbagai masalah walaupun banyak langkah untuk menyelamatkannya sudah diambil, menyebabkan Putrajaya mempertimbangkan untuk menjual syarikat nasional sarat hutang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2019.

KERAJAAN memerlukan kajian terperinci terhadap masalah dihadapi Malaysia Airline Berhad (MAS) sebelum boleh memutuskan tindakan selanjutnya ke atas syarikat pengangkutan udara nasional itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, semua langkah sebelum ini untuk menyelamatkan syarikat tersebut tidak membuahkan hasil, menyebabkan ia terus dibelenggu pelbagai masalah.

“Kita buang 6,000 pekerja dan kurangkan jumlah destinasi,” katanya, menambah yang tindakan drastik ini juga gagal meningkatkan prestasi MAS.

“Ini bermakna nisbah pekerja kepada laluan terbang masih sama,” katanya kepada wartawan pada hari terakhir lawatannya ke Pakistan.

Dr Mahathir berkata kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan penswastaan syarikat nasional bermasalah itu.

Katanya, jika sesiapa ingin membuat tawaran atau cadangan, termasuklah pihak swasta, kerajaan “akan menelitinya”.

Sidang akhbar perdana menteri itu disiarkan secara langsung di RTM.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata beberapa pihak sudah meluahkan minat membeli syarikat bermasalah itu.

Katanya, kerajaan akan memutuskan sama ada untuk menjual MAS dan cara menyelematkan syarikat nasional itu daripada terus dibebani hutang.

“Ada pihak-pihak tertentu yang mahu membeli MAS. Oleh itu, kita tidak menolaknya (idea menjual MAS) dan mahu mengkaji sama ada kita perlu jual atau tidak.  

“Secara peribadi saya sayangkan MAS dan saya mahu mengekalkan ia sebagai syarikat penerbangan negara. Tetapi nampak sukar untuk berbuat demikian.” 

Kerugian MAS yang terakhir diketahui ialah RM812 juta pada 2017. Khazanah dilaporkan mengalami kos kemerosotan RM7.3 bilion tahun lalu, di mana separuh daripadanya berpunca daripada syarikat penerbangan itu.

Sebelum pelan penswastaan oleh Khazanah pada 2014, kerajaan menyuntik kira-kira RM17.4 bilion dalam syarikat itu. Sejak itu, Khazanah juga berjanji untuk memberi RM6 bilion lagi. – 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen