PINDAAN Perlembagaan untuk mengembalikan status setara Persekutuan Malaysia kepada Sabah dan Sarawak akan dilakukan pada 8 dan 9 April, kata Chong Chieng Jen hari ini.
Timbalan menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna itu berkata semua ahli Parlimen Pakatan Harapan sudah menerima memo supaya menghadiri sidang Parlimen pada tarikh itu.
“Ketika ini, Parlimen masih berdebat tentang Titah Diraja, dan menjelang penghubung perbahasan, Parlimen akan membentangkan pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, pada 8 dan 9 April.
“Susulan itu, kami sudah mengeluarkan notis dalaman kepada semua ahli Parlimen Pakatan Harapan, memohon mereka untuk hadir pada tarikh tersebut,” kata Chong yang juga merupakan pengerusi PH Sarawak kepada wartawan hari ini.
Putrajaya sebelum ini bersetuju untuk melakukan pindaan tersebut, yang dianggap langkah penting menuju pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963.
Pindaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga 222 ahli Dewan, PH mempunyai 135 wakil.
Apabila ditanya sama ada beliau ada melihat butiran pindaan itu, ahli Parlimen Stampin itu berkata beliau tidak melihatnya.
Dalam isu berlainan, Chong juga menyokong pendirian Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang bertegas mahukan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terdiri daripada wakil rakyat pembangkang, selaras dengan manifesto pilihan raya PH.
Nurul semalam meletak jawatan selaku ahli PAC selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan yang Pengerusi PAC Ronald Kiandee akan terus memegang jawatan itu, walaupun wakil rakyat Beluran itu sudah masuk Bersatu dan tidak lagi menjadi wakil pembangkang.
Kiandee dilantik sebagai pengerusi PAC selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menggunakan tiket Barisan Nasional-Umno, sebahagian daripada usaha PH memastikan jawatankuasa Parlimen berpengaruh itu diketuai pembangkang.
Dr Mahathir berpendapat yang Kiandee boleh terus kekal menerajui PAC kerana ia bukanlah “diinstitusikan (peraturan)” yang jawatan itu diisi wakil pembangkang.
Bagaimanapun, Chong berkata “perubahan mendadak” dalam keseimbangan politik itu mungkin menjejaskan pentadbiran PH.
“Beri kami sedikit masa untuk berbincang dan cari pengganti.”
Chong berkata, beliau juga percaya Kiandee tidak perlu diganti serta merta kerana PAC sedang dalam proses memuktamadkan beberapa laporan terhadap siasatan yang dibuatnya, dan kerana itulah tiada penggantian mendadak dilakukan.
Jelasnya, Kabinet akan memutuskan perkara itu sebaik sahaja perdana menteri pulang daripada lawatan rasmi ke Pakistan. – 23 Mac, 2019.
Komen