Jumlah pelarian Rohingya cecah 313,000 orang, kata PBB


Sebahagian daripada pelarian Rohingya yang baru tiba di Teknaf, Bangladesh selepas melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, Myanmar. – Gambar EPA, 11 September, 2017.

JUMLAH pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di negeri Rakhine, Myanmar ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu mencecah 313,000, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Anggaran jumlah itu diperoleh daripada jurucakap agensi pelarian PBB, Joseph Tripura.

PBB dan kerajaan Bangladesh berkata jumlah itu bagaimanapun mencatatkan penurunan sejak beberapa hari lalu walaupun keadaan masih tegang.

Pada Ahad, PBB berkata seramai 294,000 pelarian Rohingya tiba, peningkatan hanya 4,000 daripada hari sebelumnya.

“Kebanyakan yang tiba masih dalam perjalanan dan tinggal di tepi jalan, dan tidak dikira berikutan kekurangan mekanisme penjejakan yang komprehensif,” menurut laporan koordinasi PBB pada Isnin.

Komuniti minoriti Islam Rohingya sudah lama berdepan diskriminasi kebanyakannya daripada Buddha Myanmar, yang menafikan status kerakyatan mereka.

Serangan oleh militan Rohingya ke atas pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine pada 25 Ogos lalu mencetuskan tindak balas tentera dan pelarian ke sempadan di tenggara Bangladesh.

Kempelarian dan penempatan sementara di Bangladesh berhampiran sempadan Myanmar sudah dihuni oleh 400,000 Rohingya sebelum keganasan terbaharu tercetus .

Pelarian yang membanjiri Bangladesh membuat dakwaan berhubung pembunuhan, rogol dan pembakaran yang dibuat tentera Myanmar ke atas perkampungan mereka.

Kebanyakan mereka berjalan selama berhari-hari dan menurut PBB kebanyakan mereka sakit, keletihan dan dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan tempat berteduh, makanan dan air. – AFP, 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen