RUSIA pada Isnin menggesa utusan khas PBB di Syria Staffan de Mistura meningkatkan bantuan kemanusiaan, dan berkata pihaknya akan menghantar pakar ke bandar Deir Ezzor selepas ditawan semula rejim.
Menteri pertahanan Sergei Shoigu menghantar surat kepada de Mistura yang menekankan keperluan untuk bantuan kemanusiaan di kawasan yang dibebaskan daripada pengganas di Syria.
“Nota itu menekankan bahawa pasukan tentera kerajaan membebaskan kawasan itu daripada pengganas dengan bantuan udara Rusia,” kata menteri pertahanan itu.
“Keadaan kini adalah untuk mendapatkan semula kehidupan aman.”
Shoigu turut menjelaskan “situasi rumit” dalam kem pelarian yang terletak di sempadan bandar Al-Tanf dan Uqayribat di wilayah Hama, dan menambah rakyat Syria memerlukan lebih 1,000 tan makanan dan lebih 80 tan bekalan ubat-ubatan.
Presiden Syria Bashar al-Assad dilihat semakin memenangi perang yang berlarutan selama enam tahun ke atas pemberontak berikutan tenteranya – dengan bantuan tentera Rusia – kini mengawal kebanyakan bandar utama di negara itu.
Sejak minggu lalu, tentera berjaya mara ke kawasan timur negara itu, membebaskan bandar Deir Ezzor yang ditawan kumpulan IS sejak 2014.
Kementerian pertahanan itu berkata, pasukan bantuan yang akan dihantar terdiri daripada 40 pakar dan peralatan khas ke Syria, dan akan dihantar ke Deir Ezzor “dalam masa terdekat”. – AFP, 11 September, 2017.
Komen