Peladang kelapa sawit kini beralih kepada durian


Khoo Gek San

Kerajaan juga sedang memastikan lebih banyak durian baka tempatan dieksport ke China untuk membangkitkan minat peminat durian di negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

PELADANG di Malaysia kini beralih daripada kelapa sawit kepada penanaman durian untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat dari China terhadap ‘raja buah’ itu, ekoran harga minyak sawit yang merudum di pasaran dunia.

Kerajaan juga sedang memastikan lebih banyak durian baka tempatan dieksport ke China untuk membangkitkan minat peminat durian di negara itu.

Bagaimanapun, ini dilihat memberi tekanan kepada peladang dan pengeksport kecil durian kerana bimbang tidak mampu menyaingi syarikat besar.

Pokok durian Musang King hidup subur di negara ini disebabkan faktor geografi, komposisi tanah dan iklim Khatulistiwa. Dengan permintaan terhadap durian semakin bertambah di China, ini menunjukkan adanya peluang besar terutamanya bagi pemain utama industri.

Ketika harga minyak sawit merudum, harga durian Musang King terus meningkat iaitu mencecah RM60 sehiggan RM100 sekilogram. Berbanding harga minyak sawit pada RM2 sekilogram, durian Musang King memberi pulangan sehingga sepuluh kali. Sedangkan hanya 1% penduduk China yang pernah merasai durian jenis itu.

Pengarah Top Fruits Sdn Bhd Tan Sue Yee berkata setiap ekar ladang durian kini bernilai RM500,000-650,000 berbanding RM50,000 seekar sepuluh tahun dulu.

Ini menyebabkan pemain kecil industri yang berminat membuka ladang durian sukar mendapatkan pinjaman besar dari bank.

Tan memberitahu The Malaysian Insight ramai pemain industri utama telah menukar ladang kelapa sawit mereka kepada ladang durian untuk merebut pasaran Musang King yang menguntungkan di China.

“Setiap ekar boleh cecah RM650,000, mana nak dapat pinjaman bank sebanyak itu sekarang. Syarikat besar cuma tukar ladang kelapa sawit mereka kepada ladang durian, tak beli tanah baru. Jadi, peladang kecil yang teruk sebab tak ada sumber kewangan untuk masuk dalam pasaran,” katanya. 

Setiausaha Persatuan Pengeksport Durian Malaysia Paul Mak berkata nilai ladang durian sekarang sepuluh kali ganda berbanding sedekad lalu. Jika bukan kerana melabur empat tahun lalu, beliau sendiri tidak mungkin dapat masuk ke dalam perniagaan ini. – 22 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen