Amerika semak semula draf sekatan terbaru Korea Utara


AMERIKA Syarikat mengeluarkan draf terkini sekatan terbaru ke atas Korea Utara semalam bagi mendapatkan sokongan Rusia dan China seterusnya menyakinkan Majlis Keselamatan PBB untuk menghukum Pyongyang susulan ujian nuklear terbarunya, kata diplomat.

Majlis Keselamatan dijangka mengundi usaha diterajui AS untuk mengenakan sekatan baru yang lebih keras kepada Korea Utara hari ini.

Negara itu didakwa melanggar pelbagai sekatan sebelum ini dalam usaha mengukuhkan program pembangunan senjata nuklear mereka.

Draf semakan terbaru itu memberi kelonggaran kepada beberapa sekatan teruk dalam proposal asal, yang berpotensi mengenakan embargo minyak ke atas Korea Utara secara berterusan, kata diplomat.

Susulan rundingan tegang selama empat hari terutama dengan Beijing dan Moscow, draf sekatan terbaru itu memansuhkan cadangan pembekuan aset Kim Jong-un, menurut diplomat itu lagi.

Antara kelonggaran lain termasuklah melibatkan pekerja Korea Utara di negara luar dan pemeriksaan kapal yang disyaki membawa bahan kargo dilarang PBB.

Draf terbaru itu bagaimanapun masih mengekalkan sekatan ke atas tekstil, yang dicadangkan Washington dalam draf awal.

Draf sekatan terbaru itu dibuat ketika Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam sebuah wawancara mengatakan yang program senjata pemusnah dan nuklear Pyongyang adalah krisis terburuk dunia sekarang dan ia sangat merisaukannya.

Matlamat usaha terbaru itu adalah untuk mengasingkan Korea Utara, meninggalkannya tanpa pilihan lain selain bersetuju ke meja rundingan dunia. – AFP, 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen