Sungai Kim Kim diisytihar selamat tapi penduduk masih bimbang


Mohd Farhan Darwis

Penduduk Pasir Gudang terutama di sepanjang Sungai Kim Kim masih belum tenang sepenuhnya, bimbang kesan pencemaran terus wujud dan mengancam kehidupan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

PENDUDUK sekitar Sungai Kim Kim, Pasir Gudang masih bimbang dengan tahap keselamatan di kawasan itu walau diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa.

Satu badan bertindak penduduk kawasan turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang membersihkan jajaran sungai sepanjang 1.5 kilometer walhal keseluruhan sungai itu tercemar.

Timbalan Pengerusi Mohd Raffee Abdullah berkata mereka berterima kasih pada kerajaan kerana menjalankan operasi itu namun berpendapat ia masih tidak memadai.

“Setakat ini 1.5km dah buat pembersihan, tetapi selepas 1.5km itu apa yang akan dibuat. Sebab (sisa toksik) ini tercemar seluruh Sungai Kim Kim, tapi hanya 1.5km yang dibersihkan.

“Indeks pencemaran udara memang sifar tapi bau masih ada lagi, kesannya pada masa akan datang macam mana pun kita tak tahu lagi,” katanya.

Katanya, paling teruk terjejas adalah penghuni Taman Pasir Putih, lokasi paling hampir dengan Sungai Kim Kim. Kawasan sungai itu tidak termasuk dalam jajaran 1.5 kilometer yang dibersihkan.

Mereka kini mengambil sikap berjaga-jaga dengan keadaan di kawasan terlibat kerana khuatir insiden sama akan berulang di masa hadapan, katanya.

Operasi pembersihan Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 km sahaja didakwa penduduk tidak mencukupi meredakan kebimbangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

Raffee, 45, berkata mereka juga berharap kerajaan terus memantau dan membuat penguatkuasan di kawasan itu.

“Pada kami benda (jaminan keselamatan) itu masih tidak cukup lagi, pemantauan dan penguatkuasaan mesti diteruskan buat setakat apa yang kita lalui sebelum ini.

“(Kena pastikan) selepas ini benda (pencemaran toksik) ini tidak berulang lagi, memang kita tak mahu lagi tragedi ini,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Badan bertindak penduduk yang ditubuhkan sejak 11 Mac itu juga menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan negeri Johor untuk meneliti perkara tersebut.

Seorang anaknya yang berusia 7 tahun adalah antara mangsa terawal yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu.

Tragedi tersebut menjejaskan kira-kira 4,000 keluarga di Pasir Gudang. Ramai di antara mereka mengambil kesempatan cuti sekolah ini untuk meninggalkan kediaman, kata seorang penduduk.

Muhammad Fauzi Rohani, 54, berkata ramai juga ibu bapa yang melupuskan pakaian dan kelengkapan sekolah pelajar untuk mengelakkan terkena sisa racun.

SMK Taman Pasir Putih antara sekolah yang paling teruk terjejas, seorang guru berkata tugas mereka belum selesai kerana walaupun sudah diisytiharkan bebas, kerja-kerja pencucian seluruh kawasan sekolah dan peralatan masih perlu dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

Dan kini mereka menghadapi masalah untuk menggantinya semula dan berharap kerajaan dapat membantu menyediakan peralatan itu, katanya.

“Kalau yang berkemampuan tak mengapalah, tapi yang ada tiga hingga empat anak yang bersekolah, agak sukar buat mereka,” kata Fauzi, seorang penduduk Taman Pasir Putih.

Sementara itu, seorang guru SMK Taman Pasir Putih yang enggan dinamakan berkata tugas mereka belum selesai walaupun kawasan itu sudah selamat dan bebas pencemaran sisa toksik.

Mereka perlu membersihkan peralatan sekolah yang dikhuatirit masih mempunyai kesan kimia berbahaya.

“Meja, kerusi, langsir, itu semua perlu dibersihkan kerana dikhuatiri mempunyai sisa-sisa kimia. Jaminan keselamatan yang diberikan untuk kualiti udara, bukan perkakas sekolah,” katanya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengumumkan lokasi utama pencemaran toksik di Sungai Kim Kim selamat dan bebas daripada pencemaran toksik.

Jajaran Sungai Kim Kim sepanjang 1.5km yang tercemar juga diisytiharkan selamat. Pemantauan bagaimanapun akan diteruskan dalam tempoh 15 hari akan datang, katanya pada Selasa.

Operasi selama lima hari bermula 13 Mac itu melibatkan kerja-kerja memunggah 900 tan tanah dan 1.500 tan air yang tercemar dari sungai itu ke kilang untuk dilupuskan. – 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen