Kes projek RM30 juta, lagi pegawai kanan SSM dicekup


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG lagi pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ditahan agensi anti rasuah hari ini bagi membantu siasatan skandal projek yang dianggarkan bernilai lebih RM30 juta.

Sumber berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM).

“Siasatan awal mendapati pegawai kanan itu bersubahat bersama-sama tiga lagi individu yang ditahan reman pada Selasa lalu.

“Ia berhubung mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya perkhidmatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Tangkapan itu dibuat selepas pegawai tinggi SSM itu dipanggil memberi keterangan hari ini.

Difahamkan, ia berkaitan dengan tiga individu yang ditahan reman pada Selasa, membabitkan seorang lagi pegawai kanan SSM dan dua pengarah sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka.

Tiga individu itu ditahan untuk siasatan berhubung kes penipuan penggunaan sistem yang tidak mengikut Akta Tandatangan Digital 1997, kata sumber.

Mereka merupakan individu yang pertama ditahan sejak SPRM memulakan siasatan ke atas SSM awal Januari lalu.

The Malaysian Insight difahamkan siasatan itu melibatkan pemberian projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta.

SPRM turut menyiasat kes perolehan dan pembelian bangunan pejabat SSM antaranya di Perak, Melaka dan Sarawak yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM94 juta.

Siasatan ke atas SSM digerakkan susulan gesaan satu NGO yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam agensi itu.

Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.

Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM pada November tahun lalu.  – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen