Zakaria dilihat di Menara Felda


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd Zakaria Arshad dilihat kira-kira dua jam selepas mesyuarat pengurusan bermula. – Gambar fail The Malaysian Insigth, 11 September, 2017.

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Zakaria Arshad dilihat berada di Menara Felda hari ini.

Beliau tiba kira-kira dua jam selepas bermulanya mesyuarat pengurusan yang dipengerusikan oleh pengerusi yang baru dilantik Azhar Abdul Hamid.

Bagaimanapun, Zakaria berkata beliau bukan menghadiri mesyuarat itu tetapi ada perkara lain yang perlu beliau uruskan.

Bernama baru-baru ini melaporkan Azhar berkata beliau berhasrat untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan jawatan ketua pegawai eksekutif secepat mungkin, dan akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan FGV, selain menokok nilai kepada syarikat pertanian dan agro-komoditi dunia itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Zakaria berkata beliau percaya pelantikan Azhar akan membawa perspektif baharu dan positif kepada lembaga pengarah dan pengurusan FGV.

“Saya juga yakin momentum positif harga saham FGV minggu lepas akan berterusan, kerana pasaran yakin Azhar dan pengurusan mempunyai keupayaan untuk mengemudi syarikat kembali berada di landasannya.

“Menjadi harapan saya perkembangan positif ini akan menyuntik semangat baharu ke dalam kumpulan dan juga kakitangan, bagi memaksimumkan pulangan kepada pemegang kepentingan dan pemegang saham, terutamanya Felda dan peneroka,” katanya.

Pada pukul 11 pagi harga saham FGV meningkat enam sen kepada RM1.70. – Bernama, 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen