Laporan awal kemalangan lapangan terbang didedah sebulan lagi


Mohd Farhan Darwis

Siasatan yang dilakukan oleh dua pihak, iaitu Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan dan pihak polis kini masih berjalan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mac, 2019.

LAPORAN awal insiden kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang yang mengakibatkan kematian seorang kakitangan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) akan diperolehi dalam tempoh sebulan lagi, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaafar.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan oleh dua pihak, iaitu Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan dan pihak polis juga kini masih berjalan.

“Penyiasatan sedang berjalan dan ini prosedur biasa bila berlaku apa-apa kemalangan melibatkan kapal atau lapangan terbang, secara prosedurnya kita memulakan siasatan. 

“Siasatan dilakukan dua pihak, pertamanya BSKU, biro siasatan kemalangan udara, iaitu unit khas di bawah Kementerian Pengangkutan, dan pihak polis. Siasatan masih berjalan, kita jangka laporan awal dalam sebulan ini,” kata Kamaruddin kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan asas pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan (polis bantuan) Malaysia Airports, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Kakitangan MAHB, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggal dunia pada pukul 6.45 petang, Selasa lalu selepas terlibat dengan kemalangan di lapangan tersebut awal pagi Isnin.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi Isnin,  Ruzaimi cedera parah selepas terlibat dengan kemalangan di landasan dengan sebuah pesawat peribadi.

Ketika kejadian, Ruzaimi yang merupakan pemandu kenderaan kejuruteraan sedang bertugas di lapangan terbang berkenaan.

Penumpang dan kru pesawat peribadi berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen