MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) masih belum menerima maklumat dari kerajaan untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kulim, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin.
Menurutnya, MAHB hanya mengetahui cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) itu melalui laporan media.
“Buat masa ini kita tidak ada maklumat kecuali laporan media, jadi terlalu awal untuk berikan komen.
“Kita belum kaji (aspek) logistik, keperluan dan analisis, bila dapat lebih lanjut kami akan maklumkan lagi,” kata Raja Azmi, kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis tamat latihan asas pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan (polis bantuan) Malaysia Airports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Raja Azmi ditanya mengenai pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada Selasa bahawa Putrajaya meluluskan projek KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
Menurut Azmin, ia termasuk dalam projek berimpak tinggi di Kedah membabitkan pembinaan infrastruktur baharu dan program kebajikan khusus bagi penduduk luar bandar berjumlah lebih RM3.6 bilion.
Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menuntut penjelasan Putrajaya.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan sepatutnya melaksanakan kajian kebolehlaksanaan sebelum melaksanakan projek berkenaan.
Kerajaan negeri itu juga menuntut penjelasan daripada Kedah berhubung status lapangan terbang berkenaan, sama ada ia digunakan dalam kategori kargo atau penumpang.
Chow berkata, kenyataan Azmin bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang menyebut lapangan terbang itu akan berfungsi sebagai lapangan terbang kargo.
Ketua menteri tersebut juga menyatakan rasa terkejut dengan pengumuman peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan lapangan terbang itu.
Katanya, perbincangan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Isnin lalu adalah supaya lapangan terbang itu dibangunkan pihak swasta. – 21 Mac, 2019.
Komen