SEORANG lagi pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipanggil untuk membantu siasatan agensi anti rasuah berhubung dakwaan skandal penipuan projek bernilai RM30 juta, kata sumber.
The Malaysian Insight difahamkan pegawai pangkat tinggi itu dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.
“Siasatan ini ada kaitan dengan reman semalam,” kata sumber.
Semalam SPRM mendapatkan perintah reman lima hari terhadap tiga individu termasuk seorang pegawai kanan SSM.
Dua lagi yang ditahan reman ialah pengarah sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka.
Mereka ditahan untuk siasatan berhubung kes penipuan penggunaan sistem yang tidak mengikut Akta Tandatangan Digital 1997, kata sumber.
Tiga individu itu adalah yang pertama ditahan sejak SPRM memulakan siasatan ke atas SSM sejak awal Januari lalu.
The Malaysian Insight difahamkan siasatan itu melibatkan pemberian projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta yang didakwa diberikan secara langsung kepada syarikat Formis Network Services Sdn Bhd.
Menurut sumber, SPRM turut menyiasat kes perolehan dan pembelian bangunan pejabat SSM antaranya di Perak, Melaka dan Sarawak yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM94 juta.
Siasatan ke atas SSM digerakkan susulan gesaan sebuah pertubuhan masyarakat yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam agensi itu.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM pada November tahun lalu. – 20 Mac, 2019.
Komen