STEPHEN King tulis, Warner Bros dan New Line buat dan nampaknya penonton sangat menyukainya.
Filem seram terbaru, IT memecah rekod kutipan hujung minggu filem yang diterbitkan pada September dan filem berkategori “R” di pawagam Amerika Utara, lapor laman web industri perfileman semalam.
IT dibintangi Bill Skarsgard sebagai badut menakutkan yang menganggu kanak-kanak di bandar Maine mengutip AS$117 juta untuk tayangan hujung minggu, lapor Exhibitor Relations. Filem itu yang diarahkan pengarah Argentina Andy Muschietti ditayangkan ketika filem lain yang dikeluarkan pada musim panas tidak mendapat sambutan.
Berada di tempat kedua tetapi masih tidak mampu menyaingi kutipan filem IT adalah filem Home Again terbitan Open Road Films yang hanya mengutip AS$9 juta. Filem komedi romantik dibintangi Reese Witherspoon itu mengisahkan wataknya yang terpaksa tinggal dengan tiga pemuda selepas berpisah dengan suaminya.
Filem ketiga mengutip kutipan pecah panggung dan berada dalam senarai tiga minggu berturut-turut adalah filem The Hitman’s Bodyguard terbitan Lionsgate dengan kutipan AS$4.9 juta. Filem aksi komedi itu dibintangi Ryan Reynolds dan Samuel L. Jackson.
Di tangga seterusnya adalah filem seram terbitan Warner Bros., Annabelle: Creation yang mengutip AS$4 juta. Filem itu adalah siri filem seram popular Conjuring.
Di tempat kelima adalah filem Wind River terbitan Weinstein Co. dengan kutipan AS$3.2 juta dibintangi Jeremy Renner dan Elizabeth Olsen yang melakonkan watak pegawai penyiasat yang terlibat dalam kes pembunuhan di kawasan simpan orang asal Amerika. – AFP, 11 September, 2017.
Komen