Kerugian disebabkan Harvey dan Irma cecah AS$290 bilion


Amerika Syarikat dilanda taufan Harvey dan Irma yang disifatkan penganalisis bencana alam terburuk beri kesan kepada ekonominya dalam sejarah negara itu. – Gambar EPA, 11 September, 2017.

JUMLAH kerugian disebabkan taufan Harvey dan Irma boleh mencecah AS$290 bilion, bersamaan dengan 1.5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat, kata sebuah laporan dikeluarkan AccuWeather semalam.

“Kami percaya kerosakan kerana Irma mencecah AS$100 bilion, antara kerugian terbanyak disebabkan taufan selama ini,” kata CEO dan pengasas syarikat itu, Joel Myers.

Harvey yang melanda Texas dan sebahagian Louisiana hujung Ogos lepas akan menjadi “bencana alam yang memberi kesan paling buruk dalam sejarah AS dengan AS$190 bilion atau satu peratus KDNK” yang berjumlah AS$19 trilion.

Laporan itu mengira kesan kerugian berdasarkan kemusnahan disebabkan bencana alam itu termasuklah gangguan kepada perniagaan, peningkatan kadar pengganguran, kerugian hasil pertanian termasuklah 25% kejatuhan tanaman oren, peningkatan kos minyak termasuklah gasoline, gas pemanas dan minyak pesawat penerbangan, kerosakan kepada kediaman dan kehilangan dokumentasi yang bernilai.

Hanya sedikit kemusnahan itu dilindungi insuran, kata Myers.

Irma melanda Florida awal Ahad lalu dan kini sedang menuju ke utara menjejaskan bandar Tampa yang terletak di pesisir barat Florida.

Harvey menyebabkan tanah runtuh di Texas merosakan kediaman dan melumpuhkan bandar keempat terbesar di situ, Houston yang dilanda banjir besar. – AFP, 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen