Korban gempa bumi di Mexico bertambah 90 orang


Sukarelawan menyediakan bantuan bekalan makanan dan minum untuk diedarkan kepada penduduk Mexico yang terjejas dengan kejadian gempa bumi. – Gambar EPA, 11 September, 2017.

JUMLAH korban akibat gempa bumi kuat berukuran 8.2 pada skala Richter di Mexico, meningkat kepada 90 orang, menurut pihak berkuasa semalam, lapor agensi berita China Xinhua.

Gabenor Oaxaca, Alejandro Murat mengesahkan 71 kematian dilaporkan berlaku di selatan Oaxaca iaitu negeri paling teruk terjejas dan 36 mayat ditemui di bawah tapak runtuhan di bandar Juchitan.  

Sekurang-kurangnya 50 juta penduduk di 12 negeri terjejas memandangkan Oaxaca satu daripada tiga negeri paling hanpir dengan pusat gempa.

Beliau berkata, kerja-kerja menyelamat masih diteruskan bagi memastikan semua mangsa yang dilaporkan hilang ditemui.

Gempa bumi kuat itu melanda pantai selatan Mexico lewat malam Khamis dengan pusat gempa kira-kira 96 kilometer di barat daya bandar Pijijiapan, Chiapas pada kedalaman 33 kilometer.

Sementara itu, ketua pertahanan awam Luis Felipe berkata pada Sabtu, 15 kematian dilaporkan di Chiapas dan empat di Tabasco.

Lebih 800,000 orang dipindahkan manakala 324 sekolah kerajaan mengalami kerosakan termasuk 42 daripadanya musnah.

Menurut Ketua Perlindungan Awam Oaxaca, Armando Bohorquez pula, enam orang dilaporkan masih hilang.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan persekutuan mengisytiharkan darurat di 282 bandar bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan menghantar bantuan dijalankan.

Gempa kali ini disifatkan paling buruk dalam tempoh 100 tahun. – Bernama, 11 September, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen