Atas budi bicara polis guna Akta Hasutan, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata penggunaan Akta Hasutan perlu bergantung kepada budi bicara polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2019.

PIHAK polis masih boleh menggunakan Akta Hasutan 1948 atas budi bicara mereka bergantung pada kes yang disiasat, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, akta itu masih boleh digunakan kerana ia belum lagi dibawa ke Parlimen untuk dimansuh.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pihak polis agar menggunakan akta itu dengan berhemah dan tidak disalah guna.

“Dari sudut undang-undang ia belum dihapuskan. Akta Hasutan masih ada di Parlimen sehingga dimansuhkan,” kata Muhyiddin selepas menghadiri sambutan Hari Penjara ke-229, di Kompleks Penjara Kajang, hari ini.

“Kalau akta ada tapi tak dikuatkuasakan apa makna akta itu. Kita minta polis berhemah, guna ikut budi bicara, kita bukan tidak galakkan polis guna Akta Hasutan, kita serah pada budi bicara polis,” tambahnya.

Awal Disember lepas, kerajaan menangguhkan penggantungan Akta Hasutan susulan rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya yang kemudiannya membawa kepada beberapa insiden melibatkan komen berbaur hasutan.

“Dulu kita tak nak (gunakan Akta Hasutan) kerana ada yang kata ada pihak akan salah guna.

“Tetapi sekarang kita lihat masih ada individu yang keluarkan kenyataan yang (sentuh perkara sensitif) kita tahu, dan ada yang sudah dihadapkan ke mahkamah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Tambah Muhyiddin, kementeriannya juga sedang pada peringkat akhir kajian meminda Akta Hasutan, dan terdapat beberapa peruntukan yang tidak lagi diguna pakai.

“Contoh orang hina saya, ada yang benci menteri KDN. Mengatalah, ada orang suka ada orang tak suka. Bagi kita itu tak dianggap sebagai hina tetapi apabila cerca raja, atau institusi penting negara kita anggap berat,” katanya.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong semalam yang mahu polis tidak lagi menggunakan akta berkenaan untuk menahan dan menyiasat mana-mana pihak.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat, Liew berkata langkah itu selari dengan pendirian kerajaan yang sedang meneliti sama ada akta itu perlu dipinda atau dimansuhkan.

“Secara dasarnya, kerajaan dalam proses memansuhkan Akta Hasutan 1948, justeru kerajaan memutuskan supaya polis tidak menggunakan perundangan ini terhadap mana-mana individu.

“Kerajaan mengambil pendirian akta itu akan dikaji, diubah atau dimansuhkan, namun kerja-kerja ke arah usaha reformasi perundangan berkenaan masih giat dijalankan.

“Ia (pindaan berkaitan atau pemansuhan) akan dibuat dalam jangka terdekat,” kata Liew di Dewan Rakyat semalam. – 20 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen